Rayuan ditolak, Chong diarah bayar RM30,000 kepada Harris

0

KOTA KINABALU: Mah-kamah Rayuan menolak dengan kos berjumlah RM30,000 bagi rayuan yang dibuat pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Chong Eng Leong terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan Chong membayar RM150,000 bagi kos dan kerosakan yang terlibat dalam saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Menteri berkenaan.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Chong agar membayar RM30,000 sebagai kos yang terlibat sepanjang perbicaraan saman fitnah berkenaan dijalankan.

Hakim Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas mendengar kenyataan daripada plaintif dan responden.

Hakim turut menyatakan bahawa mereka berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai sebarang kesilapan. Keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa artikel yang disiarkan memang berbaur fitnah.

Mahkamah Rayuan juga tidak akan mengganggu ‘quantum of damages’ yang diperintahkan oleh hakim Mahkamah Tinggi kerana jumlah yang ditetapkan adalah munasabah.

Pada 15 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan sejumlah RM100, 000 dibayar kepada Harris sebagai kerosakan yang terlibat dalam saman fitnah yang difailkan terhadap Harris oleh Chong.

Chong dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam akhbar tempatan mendakwa Harris terlibat dalam pengeluaran Kad Pengenalan (IC) biru kepada warga asing di Sabah.

Mahkamah Tinggi turut mengarahkan Chong membayar RM50,000 sebagai kos yang terlibat dalam kes berkenaan.

Dalam saman fitnah itu, Harris memfailkan saman berjumlah RM50 juta terhadap Chong atas dakwaan memfitnahnya dalam artikel ‘Harris should clear his name’ yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada 17 Julai 2012.

Harris juga memohon arahan yang dapat mengekang Chong, mahupun orang suruhan, pekerja atau ejen dari percetakan dan penerbitan untuk membuat sebarang kenyataan terhadapnya.

Terdahulu, peguam Marina Tui yang diwakili Chong memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa hakim Mahkamah Tinggi tersilap kerana tidak membaca keseluruhan artikel yang disiarkan.

Katanya, hakim Mahkamah Tinggi tidak mengambil kira tajuk artikel ‘Harris should clear his name’ yang mana, tajuk itu jelas membuktikan bahawa artikel itu bukannya bersifat tuduhan.

Malah, tidak dinyatakan dalam mana-mana perkataan dalam artikel itu bahawa Harris bersalah kerana terlibat dalam pengeluaran IC biru kepada warga asing di Sabah sebelum pilihanraya berlangsung.

Marina juga memberitahu mahkamah bahawa perayu juga tidak terdorong oleh hasrat dengki dan apa yang Chong ingin sampaikan adalah Harris didakwa terlibat dan ia dinyatakan dalam buku MD Mutalib bertajuk ‘IC Project-Agenda Tersembunyi Mahathir’. Dengan itu, Chong merasakan Harris perlu membersihkan namanya.

Menurutnya, hakim Mahkamah Tinggi juga harus mengambil kira maksud yang ingin disampaikan, namun hakim tidak mengambil kira perkara berkenaan.

Mengenai kerosakan yang terlibat dalam saman fitnah itu, Marina memberitahu mahkamah bahawa jumlah RM100,000 yang diminta terlalu tinggi bagi anak guamnya yang kini tidak lagi aktif dalam politik.

Sementara itu, peguam Chung Jian Dau yang mewakili Harris memberitahu mahkamah bahawa sebarang tindakan mengulangi kenyataan yang telah dibuat tidak bermakna kenyataan itu bukan fitnah.

Apa yang cuba disampaikan oleh Chong yang mengatakan Hassnar Ibrahim ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam pemberian IC palsu seperti dinyatakan dalam buku berkenaan adalah sesuatu yang hebat maka, Harris perlu membersihkan namanya.

Beliau juga menyatakan bahawa hakim yang terlibat dalam perbicaraan sudah mengaplikasikan prinsipal yang tepat dan tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menginterpretasikan artikel yang disiarkan.

Menyentuh mengenai jumlah kerosakan yang terlibat, Chung memberitahu bahawa jumlah yang perlu diperintahkan untuk dibayar itu adalah munasabah dan tidak terlalu tinggi.

Dalam kes rayuan berkenaan, Chung turut dibantu oleh peguam Sunny Durai.