Sarawak berpotensi jadi kuasa menembak

0
KEMUDAHAN TERBAIK: Abdul Rahman dan Abdul Wahap merakamkan gambar bersama pasukan menembak SUKMA Sarawak di Pusat Acara Menembak, Kompleks Sukan Negeri di Petra Jaya semalam.

KEMUDAHAN TERBAIK: Abdul Rahman dan Abdul Wahap merakamkan gambar bersama pasukan menembak SUKMA Sarawak di Pusat Acara Menembak, Kompleks Sukan Negeri di Petra Jaya semalam.

KUCHING: Sarawak mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadi kuasa menembak dengan terbinanya Pusat Acara Menembak di Kompleks Sukan Negeri, Petra Jaya dekat sini.

Menurut Presiden Persatuan Menembak Sarawak (PMS) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, kemudahan tersebut yang dibina untuk kegunaan Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII merupakan antara yang terbaik di Malaysia.

“PMS mempunyai perancangan masa depan untuk memanfaatkan penggunaan pusat ini misalnya dengan mengadakan aktiviti menembak setiap bulan yang bukan sahaja melibatkan para pelajar sekolah dan penuntut institusi pendidikan tinggi, tetapi juga orang ramai.

“Dengan itu, saya yakin kita dapat melahirkan atlet sukan menembak terbaik sekali gus menjadikan Sarawak sebagai kuasa me n emb a k di negara ini,” k a t a Da t u k Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi mengadakan lawatan serta perjumpaan bersama pasukan menembak SUKMA XVIII Sarawak di Pusat Acara Menembak, semalam.

Turut hadir Pengurus Pertandingan Menembak SUKMA XVIII Dr Mahadhir Alhady, pengurus pasukan menembak SUKMA XVIII Sarawak M.C. Chung, penolong jurulatih Oleksandr Semakin dan pengurus pusat pertandingan menembak Keith Kong.

Terdahulu, Dr Abdul Rahman yang juga merupakan Penolong Chef-De-Mission Acara Menembak SUKMA XVIII Sarawak berkata, PMS akan memohon daripada kerajaan negeri untuk menjadi sebahagian daripada pengurusan bagi Pusat Acara Menembak tersebut.

“Kami bersedia untuk menguruskan kemudahan ini terutama dari segi kepakaran dan berharap ia akan digunakan sepenuhnya pada masa depan bukan sahaja untuk atlet menembak tetapi juga orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PMS akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan terutama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri termasuk Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman dan Abdul Wahap turut menyuarakan keyakinan terhadap pasukan menembak untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen SUKMA negeri.

“Diharapkan atlet menembak kita dapat membuat yang terbaik dan meraih sebanyak mungkin pingat emas,” kata mereka.