KUCHING: Kira-kira 5,000 penari dan penghibur termasuk artis tempatan, pelajar sekolah rendah, menengah dan institut pendidikan tinggi (IPT) di sini dan Kota Samarahan membanjiri lapangan padang Stadium Sarawak dalam acara raptai penuh majlis perasmian Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) di sini malam kelmarin.
Seluruh stadium diwarnai cahaya lampu berwarna-warni melambangkan kepelbagaian serta keharmonian negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu tidak ketinggalan menyaksikan raptai penuh untuk majlis perasmian SUKMA XVIII yang berlangsung malam ini.
Antara tetamu kenamaan turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Solidariti Rosey Yunus, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik.
Antara yang dipersembahkan pada raptai penuh itu ialah persembahan tarian, perarakan kontinjen dan permainan bunga api.
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dijangka hadir pada majlis perasmian SUKMA XVIII malam ini.