P.Pinang sekali lagi buktikan kuasa karate

0
TERBAIK: Pasukan karate Pulau Pinang berjaya mengekalkan juara keseluruhan dalam acara karate SUKMA XVIII.

TERBAIK: Pasukan karate Pulau Pinang berjaya mengekalkan juara keseluruhan dalam acara karate SUKMA XVIII.

MIRI: Pulau Pinang sekali lagi menguasai secara keseluruhan acara karate dengan memenangi tujuh pingat emas, satu perak dan empat gangsa pada temasya SUKMA Ke-18, di Stadium Tertutup Bandaraya Miri petang kelmarin.

Pasukan itu menambah dua lagi koleksi pingat emasnya menerusi acara Individu Kumite Lelaki Bawah 84kg dan Individu Kumite Wanita Atas 68kg yang dipertandingkan pada hari ketiga acara karate di sini.

Pengurus pasukannya, William Tang berkata pingat emas yang dikumpulkan itu adalah melebihi sasaran pasukan.

“Kita menyasarkan empat emas untuk SUKMA XVIII ini, namun tujuh emas diperolehi adalah bonus kepada kami.

“Kemenangan ini juga adalah berturut-turut sebanyak sepuluh kali pada SUKMA dan kita amat bersyukur serta berbangga dengan semangat pasukan karate bertungkus- lumus memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui.

Tang turut berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan terbabit.

Turut berkongsi kegembiraan ialah tiga jurulatih terlibat iaitu Yousef Ataei, K Vasanthan dan Jonathan Chin.

Selangor kekal di tempat kedua dengan kutipan tiga pingat emas, lima perak dan tiga gangsa manakala Sabah di kedudukan ketiga dengan dua pingat emas, enam perak dan satu gangsa.

Sementara itu, pasukan karate Sarawak menambah tiga pingat gangsa diperolehi oleh Janice Jimir dalam acara Individu Kumite Wanita Bawah 61kg, Cindy Ngui menerusi acara Individu Kumite Wanita Bawah 68kg, manakala satu lagi pingat gangsa dimenangi oleh Siti Fatonah dalam acara Individu Kumite Wanita Atas 68kg.

Secara keseluruhan, Sarawak berjaya mengumpul enam pingat melalui 16 acara karate yang dipertandingkan selama tiga hari.

Tiga lagi pingat masing-masing ialah satu perak dan dua gangsa.

Acara karate diadakan pada 19 Julai dan berakhir kelmarin.