Walaupun kalah, Sarawak masih berpeluang: Teo

0

SIBU: Jurulatih pasukan bola tampar lelaki Sarawak Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) Philip Teo menyifatkan kekalahan mengejut pasukannya kepada Pulau Pinang semalam adalah bukan kekalahan menamatkan cabaran mereka pada temasya SUKMA ini.

“Ia adalah kekalahan peringkat kumpulan bukannya menyekat kemaraan kita ke peringkat seterusnya. Walaupun kalah kita masih berpeluang,” katanya ditemui selepas perlawanan Sarawak-Pulau Pinang di Stadium Tertutup Bola Tampar Sibu di sini semalam.

Pada perlawanan itu, Pulau Pinang berjaya menundukkan tuan rumah, Sarawak dengan 3-2.

Set pertama tuan rumah menang dengan 25-21 untuk mendahului 1-0 sebelum disamakan kedudukannya 1-1 oleh pelawat apabila menang set kedua dengan 22-25.

Kemudian pasukan pelawat mendahului 2-1 selepas menewaskan tuan rumah set ketiga dengan 25-27.

Pada set keempat, Sarawak kembali menyamakan kedudukan 2-2 selepas menewaskan pelawat dengan 25-20.

Set penentuan, anak-anak buah Teo tersungkur dengan 15-13 sekali gus membolehkan Pulau Pinang menang 3-2.

Bagaimanapun, Teo tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila beliau mendedahkan kelemahan pasukannya adalah melalui pukulan servis serta kegugupan.

“Itulah kesilapan yang memberi mata mudah kepada lawan. Bagaimanapun, ia dapat diperbaiki menjelang perlawanan esok (hari ini) menentang Johor.

“Kita percaya dalam baki dua perlawanan menentang Johor dan Sabah pada Ahad ini boleh menang dan mara ke peringkat seterusnya dan berada tangga teratas Kumpulan A,” katanya sambil minta penyokong memberi sokongan padu dalam dua perlawanan penting Sabtu dan Ahad ini.

Dalam Kumpulan A sekarang, Pulau Pinang berada di tangga teratas selepas menang ke atas Sabah 3-0, menang ke atas Sarawak 3-2 dan tewas kepada Johor 1-3.

Sarawak sebelum ini menjinakkan Terengganu dengan 3-0.

Sementara itu, Sarawak mempunyai baki dua perlawanan iaitu menentang Johor pada 23 Julai (petang ini) jam 4 petang dan menentang Sabah 24 Julai (esok) jam 12 tengah hari.

Sarawak perlu menang kedua-dua baki perlawanan seandainya berhasrat mara ke peringkat seterusnya untuk menjamin kedudukan mereka memburu pingat emas.