JDT mudah jinakkan Sarawak

0

David sifatkan faktor pengalaman menjadi pemisah

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

KUCHING: Pengendali Sarawak, David Usop menyifatkan faktor pengalaman menjadi pemisah yang menyebabkan pasukannya tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta’azim (JDT) dalam aksi Liga Super 2016 di Stadium Negeri di sini malam kelmarin.

Menurutnya, skuad Bujang Senang dilihat banyak menguasai perlawanan bagaimanapun terpaksa akur dengan kehebatan pasukan pelawat yang dibarisi ramai pemain berpengalaman.

David ketika ditemui berkata, skuad bimbingannya sudah melakukan yang terbaik malah melancarkan serangan bertali arus bagi memberikan tekanan kepada skuad Harimau Selatan itu.

Pelawat yang kental bertahan terus memastikan tiga mata berharga berjaya dibawa pulang sebagai bekalan mengharungi baki perlawanan.

“Secara keseluruhannya, pemain-pemain kita mempamerkan aksi cemerlang walaupun rentak sedikit longgar pada awal saingan.

Tetapi kita berjaya bangkit selepas itu bagi memburu gol penyamaan atau sekurang-kurangnya memperoleh satu mata,” katanya ditemui sepas perlawanan di sini malam kelmarin.

David berkata, apa pun usaha keras semua pemain harus diberikan kredit kerana tidak berputus asa melancarkan serangan sehingga ke penghujung perlawanan.

Menurutnya, Sarawak berjaya mencipta beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi sentuhan penyudah yang sedikit mengecewakan.

“Kita lihat, percubaan pemain gantian, Tommy Mawat yang terkena palang selain hantaran lintang yang dilakukan Makeche Ndumba juga gagal dimanfaatkan,” katanya.

Sarawak kini kekal menghuni tangga kesembilan dengan 12 mata hasil daripada 14 perlawanan dan skuad Bujang Senang akan berkunjung ke Kuala Terengganu menentang T-Team pada 26 Julai ini.