Kematian tiga beranak tiada unsur jenayah

0

KUCHING: Polis mengesahkan kematian tiga beranak di Kampung Baru, Kota Samarahan bebas daripada sebarang elemen jenayah.

Demikian menurut Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern selepas bedah siasat dijalankan oleh Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) bermula 8 malam kelmarin dan berakhir awal pagi semalam.

Justeru, beliau memohon orang ramai agar berhenti daripada menyebar dan membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut yang boleh mengganggu emosi keluarga mangsa.

“Bedah siasat mendapati kematian wanita terbabit disahkan berpunca daripada menggantung diri, manakala kedua-dua anak lelakinya juga disahkan meninggal dunia akibat keracunan bahan peluntur.

“Justeru, hentikan membuat spekulasi yang disifatkan sebagai menabur garam atas luka bagi keluarga mangsa dan biarlah mereka menghadapi situasi ini dengan tenang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pada Selasa, 19 Julai lepas, si ibu Rohana Mohamad, 37, ditemui mati dalam keadaan tergantung selepas dipercayai membunuh kedua-dua anak lelakinya Adam Hadiman Noorahman, 7, dan Mohamad Ikmal Danish, 4.

Bagaimanapun, kes tersebut yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) ditukar sebagai kes bunuh sehingga menimbulkan tanda tanya dan menjadi viral di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar tampil menjelaskan perkara tersebut memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kematian dua kanak-kanak terbabit dipercayai akibat dibunuh oleh ibunya.

Difahamkan, mayat ketiga-tiga mangsa juga telah dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muara Tuang.