Kerani syarikat bas ekspres dipercayai pecah amanah

0
REMAN: Suspek dibawa ke Mahkamah Sibu untuk mendapatkan perintah reman pagi semalam.

REMAN: Suspek dibawa ke Mahkamah Sibu untuk mendapatkan perintah reman pagi semalam.

Suspek disyaki salah guna wang syarikat sejak 6 bulan

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Seorang kerani wanita sebuah syarikat bas ekspres di sini ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sibu kerana dipercayai melakukan pecah amanah.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut dan seorang suspek wanita berumur 23 tahun berjaya ditahan.

“Suspek direman tiga hari sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bertindak atas maklumat, polis JSJK Sibu menahan wanita terbabit di tempat kerja di Jalan Pahlawan di sini pada jam 11 pagi kelmarin.

“Siasatan awal mendapati kerani wanita terbabit disyaki tidak amanah kerana menyalahgunakan wang syarikat untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Akibat itu syarikat bas terbabit mengalami kerugian kira-kira RM15,000 dipercayai hasil jualan syarikat dalam tempoh enam bulan lepas.

Difahamkan, suspek bekerja sebagai kerani di kaunter bas itu sejak Januari tahun ini.

Suspek dipercayai mengambil kesempatan mencuri sedikit demi sedikit sehingga pungutan hasil jualan syarikat menunjukkan akaun tidak seimbang.

Susulan itu, pengurus syarikat telah mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pada 13 Julai lalu.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.