Misi hidup mati buat Sarawak

0

Zaki harap sentuhan kemenangan dijelmakan anak-anak buahnya apabila berdepan Wilayah Persekutuan malam ini

KUCHING: Pengurus skuad bola sepak SUKMA Sarawak, Ahmad Zaki Zaidi menuntut semua pemain mengekalkan momentum ketika menentang Terengganu tempoh hari apabila melayan pasukan Wilayah Persekutuan dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini (8.15 malam).

Menurut Zaki, keputusan perlawanan itu akan menentukan hala tuju Sarawak pada kempen temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) kali ini sambil mengharapkan sentuhan kemenangan dijelmakan oleh anak-anak buahnya.

“Kita tiada pilihan selain perlu menewaskan Wilayah Persekutuan untuk mara ke pusingan kalah mati. Justeru itu, saya mengharapkan semangat perjuangan tinggi ‘Ngap Sayot’ yang dipertontonkan ketika menentang Terengganu dapat dikekalkan,” katanya di sini semalam.

Sekalipun diselubungi semangat membara untuk meraih kemenangan pertama, Zaki tetap melabelkan anakanak buahnya sebagai ‘underdog’ kerana bakal berdepan skuad yang serba mantap dan dibarisi beberapa pemain kebangsaan seperti Ariff Anwar.

Katanya, walaupun mengundang sedikit keresahan namun beliau yakin semangat perjuangan tinggi serta komitmen semua pemain yang bebas kecederaan menjadi strategi kekuatan Sarawak untuk mendapatkan keputusan positif pada perlawanan malam ini.

Sarawak perlu menang atau seri 2-2 dengan Wilayah Persekutuan untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, pada perlawanan di Stadium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kelmarin, Terengganu dan Wilayah Persekutuan seri 1-1.