Penerjun Sarawak lakar kejutan

0

KUCHING: Penerjun Sarawak melakar kejutan pada hari pertama acara terjun di Pusat Akuatik Negeri Sarawak semalam selepas berjaya merangkul satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Eilisha Rania Abrial Raja Gopal Francis dan Kimberly Bong mencuri tumpuan selepas merangkul pingat emas dalam acara platform wanita berirama dengan mengumpul 238.50 mata.

Perak dimenangi Nur Ain Nadzmi dan Nurfazriyanti Jali dari Sabah (219.18) manakala gangsa milik penerjun Selangor, Lim Min dan Nur Nur Alya Jazmina Khairul Azhar (206.85).

Tuan rumah turut merangkul perak dan gangsa menerusi acara 3 meter papan anjal lelaki dimenangi Slyvester Peter Jawa dan Carlyse Chan.

Slyvester mengumpul 358.80 mata sementara Carlyse dengan 353.50 dalam acara yang dimenangi penerjun Selangor, Chew Yi Wei selepas mengumpul 422.85 mata.

“Ia kemenangan di luar jangkaan kerana saya tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam dua acara tersebut. Saya sangat gembira dengan kejayaan penerjun kita dan ia bonus untuk skuad terjun,” kata jurulatih terjun Sarawak, Xiao Xia ditemui di sini semalam.

Menurut Xiao, kejayaan Eilisha dan Kimberly memenangi emas dalam acara platform wanita seirama juga amat mengejutkan kerana beliau tidak meletakkan harapan tinggi terhadap kedua-dua penerjun cilik itu.

Katanya, Sarawak berpotensi menambah satu lagi kutipan emas dalam acara sasaran, tiga meter papan anjal berirama lelaki menerusi gandingan Slyvester dan Carlyse merupakan juara bertahan pada SUKMA 2014.

“Kita telah mencapai sasaran satu emas tetapi saya berharap penerjun kita dapat mencipta kejutan lagi esok (hari ini),” tambahnya.

Sementara itu, Kimberly dan Eilisha tidak menjangka dapat memenangi acara tersebut kerana terpaksa berdepan saingan hebat daripada penerjun negeri-negeri lain.

Kedua-dua penerjun itu amat meminati ratu terjun Sarawak, Pandelela Rinong berkata mereka hanya memberi fokus melakukan terjunan yang baik.

“Saya sentiasa berpegang kepada nasihat Pandelela iaitu jangan menyerah kalah dalam memburu cita-cita sebagai penerjun terbaik,” kata Kimberly, 14, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Bagi Eilisha (11 tahun), latihan sejak berusia lima tahun nyata tidak sia-sia apabila penampilan pertamanya pada SUKMA kali ini membuahkan hasil yang amat bermakna.

Acara terjun akan bersambung hari ini.