Saranan lanjut persaraan kepada 62 tahun disokong

0

Sokongan berdasar alasan signifikan: CUEPACS Sarawak

// Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak menyokong penuh saranan dan gesaan CUEPACS Kebangsaan untuk memohon lanjutan persaraan penjawat awam kepada usia 62 tahun.

Menurut Pengerusi CUEPACS Sarawak Ahmad Malie, sokongan tersebut berdasarkan justifikasi dan alasan signifikan bagi melanjutkan usia persaraan penjawat awam itu.

“Sebagai contoh, masih terdapat penjawat awam yang mampu dan cergas melaksanakan tugas walaupun mereka telah bersara pada usia 60 tahun.

“Adalah menjadi satu kerugian dari segi keupayaan dan kepakaran mereka kerana tidak dimanfaatkan lagi sedangkan masih mampu menyumbang, justeru CUEPACS Sarawak turut menggesa kerajaan agar mempertimbang saranan CUEPACS Kebangsaan ini dengan serius dan mendalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Jelasnya, sistem perkhidmatan sedia ada kini menggunakan sistem kontrak kepada penjawat awam yang telah bersara.

Perkara itu, katanya, sekiranya dilihat dengan teliti, ia adalah merugikan mengambil kita aspek kewangan kerajaan kerana kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan khidmat dan kepakaran penjawat awam yang telah bersara.

“Hal ini jelas menunjukkan langkah terbaik ialah melanjutkan usia persaraan kepada 62 tahun kerana ia lebih rasional serta mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Lagipun, kebanyakan negara jiran kita dalam lingkungan negara ASEAN juga menawarkan usia persaraan sehingga 65 tahun. Inilah yang dimaksudkan CUEPACS Sarawak bahawa saranan ini adalah signifikan serta relevan sekiranya negara kita berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju,” jelasnya.

Bagaimanapun, ulasnya lanjut, sekiranya kerajaan tidak menimbang untuk melanjutkan usia persaraan penjawat awam itu secara total, CUEPACS Sarawak menyarankan sebagai langkah untuk menjamin kualiti perkhidmatan awam, lanjutan usia persaraan itu dibuat secara pilihan.

Katanya, perlu ada syarat yang harus dipenuhi sekiranya penjawat awam berhasrat untuk melanjutkan usia persaraannya,

“Sekiranya kaedah ini dapat dilaksanakan, sudah pasti pihak kerajaan dapat menyelamatkan pengosongan serta pengaliran kepakaran yang masih menjadi keperluan kepada negara ke arah menjadi sebuah negara maju,” jelasnya.

Baru-baru ini, Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda berkata, dasar umur persaraan daripada 60 tahun kini kepada 62 tahun itu dilihat perlu dilakukan sebagai persediaan untuk negara menjadi negara maju yang mampu bersaing di peringkat global setanding dengan negara maju yang lain.

“Apabila hendak menuju ke negara maju kita memerlukan dasar yang dapat diterima secara sejagat. Dari segi bakat, negara yang menuju ke negara maju dan telah maju mempunyai dasar untuk penjawat awam dilanjutkan usia persaraan lebih daripada 60 tahun.

“Kumpulan profesional seperti pensyarah, hakim, jurutera dan pakar runding mempunyai kepakaran tertentu, negara akan rugi jika dilepaskan kepakaran ini,” katanya dalam satu  program temu bual.

Lanjutan tempoh perkhidmatan itu, juga katanya dapat membantu penjawat awam di negara ini dari segi pendapatan memandangkan kehidupan di dalam sektor awam memerlukan komitmen yang membabitkan kos lain terutamanya kos sara hidup, perumahan dan pendidikan.