Seni, warisan akan terus dipromosi ke negara luar

0

Masih banyak perlu dibangun, diperkenal terutama kepada negara-negara ASEAN, kata Abang Johari

// Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menerusi Majlis Kesenian Sarawak (SAC) akan meneruskan agenda mempromosi kesenian dan warisan negeri ini kepada negara luar.

Menterinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kesenian dan warisan Sarawak masih banyak yang perlu dibangun dan diperkenal kepada negara luar terutama negara-negara ASEAN.

“Di bawah kementerian saya menerusi sudut Kesenian, kita ada menubuhkan SAC bertujuan untuk membangunkan kesenian dan warisan yang ada di Sarawak.

“Misalnya, Simfoni Orkestra Sarawak, kita mahu menjelajah ke seluruh negara ASEAN dan bawa kesenian kita menerusi simfoni ini selain bertukar pandangan dan idea dengan negara-negara yang kita kunjungi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, malam kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan bekas Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) PBB Samariang merangkap Pengerusi Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu (PEKEMA) Sarawak Datuk Seri Abang Khalid Marzuki.

Abang Johari yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kementerian juga akan membangunkan seni persembahan pentas dan teater menerusi Sekolah Seni Kuching sebagai satu kegiatan kesenian yang menampilkan kepelbagaian kaum yang ada di negeri ini.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mempelawa Datuk Khalid untuk menyertai ahli lembaga SAC ini dan membantu saya menjayakan pembangunan kesenian di Sarawak khususnya dalam memperkenalkannya di mata dunia,” jelasnya sambil menambah buat masa ini ahli lembaga SAC sedia ada terdiri daripada Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberitahu, bagi kawasan Samariang, kerajaan telah bersetuju memperuntukkan geran Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membina pondok polis di kawasan itu.

Katanya, ia adalah bertujuan sebagai pusat kawalan dan seliaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau serta kawalan aktiviti jenayah yang berlaku di Samariang dan kawasan sekitarnya.

“Tanah sudah dikenal pasti untuk kita bangunkan pondok polis, sebagai contoh di Satok, pondok polis dibina di Kampung Bintangor dan di Samariang ini pula akan dibina di kawasan yang telah ditetapkan kelak dan pihak polis juga telah bersetuju untuk meletakkan pegawai mereka di pondok-pondok polis ini,” jelasnya.

Hadir sama ialah bekas ADUN Samariang Datuk Paduka Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi serta suami Sayeed Aman Ghazali Sayeed Aman Junaidi.