SMK Pending anjur hari terbuka rai ulang tahun ke-42

0

KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pending, menganjurkan hari terbuka buat julung kalinya sempena sambutan ulang tahun ke-42 sekolah berkenaan semalam.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil yang turut dihadiri oleh alumni dan warga sekolah termasuk ibu bapa dan pemimpin masyarakat.

Dalam ucapannya, Dr Jerip berkata SMK Pending memainkan peranan yang penting dalam memastikan populasi di kawasan sekitarnya turut serta dalam pembangunan negara.

“SMK Pending telah membuat banyak transformasi kepada masyarakat dan komuniti di sekitarnya selain turut mentransformasikan landskap di kawasan ini.

“Saya berharap, sekolah ini akan terus menyumbang kepada masyarakat secara keseluruhannya dalam usaha melahirkan modal insan yang akan menentukan masa depan negara kelak,” katanya ringkas.

Sementara itu, Pengetua SMK Pending Ivor Emmanuel Lim menyampaikan penghargaan kepada guru, ibu bapa dan semua yang terlibat dalam menjayakan hari terbuka ini.

Menerusi program seperti ini, beliau percaya ia akan dapat dapat memperkukuhkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti diadakan sempena hari terbuka itu semalam antaranya pameran dan jualan, pertandingan futsal, memasak, karaoke serta banyak lagi.

Turut diadakan, perasmian sudut alumni diikuti dengan perasmian kantin sekolah yang telah dinaik taraf semula dengan kos RM60,000.

Dr Jerip turut memperuntukkan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) bagi membiayai aktiviti-aktiviti pada masa akan datang.