Belia sentiasa sokong kontinjen SUKMA Sarawak

0

Rata-rata belia sokong kontinjen tuan rumah harum nama negeri dalam setiap sukan dipertandingkan

Oleh Henrietta Liza //

KUCHING: Rata-rata belia berusia 20-an di negeri ini menyokong penuh kontinjen tuan rumah untuk mengharumkan nama negeri dalam setiap acara sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 kali ini.

Apatah lagi sejak kali pertama SUKMA diadakan di Sarawak pada tahun 1990, kini selepas 26 tahun SUKMA diadakan semula di negeri ini dengan meriah sekali.

Fendy Zachariey, 23, ketika ditemui di Megalanes menyatakan harapan agar pemain boling Sarawak, Jonathan Ding akan memberikan pingat emas dalam acara itu.

“Ini adalah platform yang bagus bagi orang ramai yang tidak pernah meminati sukan boling tetapi disebabkan rasa patriotik dan kagum dengan laungan Ketua Menteri malam kelmarin, mereka tetap datang menyokong.

“Disebabkan semangat patriotik yang kuat dalam kalangan rakyat Sarawak mereka memberi sokongan yang kuat kepada pasukan Sarawak,” katanya semalam.

Sementara itu, Imelda Sinai Anyie, 29, pula mengakui bahawa beliau tidak pernah meminati sukan boling tetapi berasa teruja untuk mengetahui keputusan keseluruhan acara boling itu di sini.

“Saya meminati sukan futsal dan tidak pernah bermain boling. Kita sedang menunggu keputusan tuan rumah dan berharap mereka akan melakukan yang terbaik untuk membanggakan penyokong di sini dan membawa pingat emas,” ujarnya.

Dalam acara yang berbeza di Pusat Akuatik Negeri Rodney Frazer, 20, menyatakan rasa bangga dengan kejayaan yang telah dilakar pasukan Sarawak setakat ini.

Jika tidak mendapat menjadi johan sekalipun, berada di tempat kedua atau ketiga sudah cukup memberi kegembiraan buat saya yang sememangnya menyokong pasukan akuatik Sarawak, tegasnya.

“Perasmian pembukaan SUKMA yang diadakan kelmarin juga amat mengujakan sejak 26 tahun yang mana kali pertama diadakan di negeri ini pada 1990, saya belum lahir lagi pada masa itu.

“Sekarang dapat melihat sukan-sukan yang dipertandingkan ‘live’ di sini walaupun saya berminat dengan sukan badminton yang dipertandingkan di Sibu.

“Tetapi bersyukur jugalah sekurang-kurangnya dapat melihat sukan-sukan lain yang dipertandingkan di sini,” tambahnya kemudian.