Hari Bung Jagoi tarik pengunjung luar termasuk pelancong asing

0

TA03659KUCHING: Acara tahunan sambutan Hari Bung Jagoi oleh suku kaum Bidayuh Jagoi menarik pengunjung luar termasuk pelancong asing yang turut hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Tahun ini, Hari Bung Jagoi disambut pada 23 Julai bagi memperingati warisan sejarah Kampung Jagoi Gunung di daerah Bau yang merupakan penempatan asal bagi suku kaum Bidayuh Jagoi sebelum berpindah dari puncak gunung tersebut.

Selepas perpindahan, suku kaum Bidayuh Jagoi mendiami beberapa perkampungan di kaki gunung Jagoi antaranya Kampung Duyoh, Serikin, Bogag, Stass, Skibang, Sibobog, Seputieng, Pinomu dan Serasot.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Jagoi Gabriel Tonga Noweg, suku kaum Bidayuh Jagoi turut mendiami lima kampung di Lundu dan enam  kampung di Kalimantan, Indonesia selain kampung utama di kaki Gunung Jagoi.

“Sambutan Hari Bung Jagoi ini merupakan acara tahunan kami sejak 2012 dan tahun ini merupakan sambutan kali kelima untuk kami memperingati warisan sejarah nenek moyang kami.

“Di samping itu, sambutan ini juga diharap dapat memupuk semangat solidariti antara suku kaum Bidayuh Jagoi yang telah berpecah di tiga kawasan iaitu Bau, Lundu dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu sekitar 350 orang menyertai sambutan tersebut dan sama-sama mendaki Bung Jagoi untuk menjejaki semula tinggalan warisan sejarah yang masih ada di gunung tersebut.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan lagi dengan acara larian eko Jagoithon, persembahan tarian tradisional Bidayuh, demonstrasi kraf tangan, pelancaran buku ‘Jagoi Heritage’ dan lain-lain.

Acara Jagoithon telah dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datu Ik Pahon Joyik.

Demonstrasi membuat kraf tangan telah dilakukan oleh dua wanita Indonesia dari suku Bidayuh Jagoi yang menghasilkan anyaman bakul dan tikar lantai atau kasah.

Upacara penyembahan turut diadakan pada sambutan itu sebagai tanda menghormati golongan lama yang pernah mempersembahkan upacara yang sama dan telah meninggal dunia.

Dalam pada itu, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Gabriel telah ditubuhkan pada 2012 untuk tujuan pembangunan pendidikan, kebudayaan dan memperkasakan masyarakat dalam kawasan ini.

Untuk maklumat lanjut sila layari www.bijagoiheritage.org atau Facebook: Bung Jagoi, A Dayak Bidayuh Heritage Site.