Jangan provokasi tindakan pasukan keselamatan: Suhaili

0
TOLAK PROVOKASI: Suhaili bersama pemimpin-pemimpin UPPM dan JKKK yang hadir pada mesyuarat itu.

TOLAK PROVOKASI: Suhaili bersama pemimpin-pemimpin UPPM dan JKKK yang hadir pada mesyuarat itu.

TUNGKU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Datuk Suhaili Mohd Said mengingatkan agar rakyat tidak memviralkan sebarang tindakan keselamatan terutama berkaitan kes-kes penculikan.

Sebaliknya kata Suhaili, rakyat perlu bertindak matang membantu pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak keselamatan.

“Tindakan memviralkan kes-kes culik yang mengundang pelbagai provokasi akan memburukkan lagi keadaan sebaliknya kita perlulah tampil menyalurkan maklumat kepada pihak pasukan keselamatan.

“Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) arif dalam kerja-kerja mereka dan mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap pesalah atau dalang ataupun mereka yang bertindak sedemikian dalam media sosial,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dewan Undangan Negeri Tungku di kediamannya, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, pemimpin di peringkat akar umbi perlu proaktif dalam memantau keadaan ini dengan memanfaatkan perubahan teknologi penyampaian maklumat.

Katanya, aplikasi penyampaian maklumat ini sememangnya memberi manfaat namun ianya memerlukan kawalan agar ianya memberi kebaikan bersama.

“Jangan kita menjadikan media sosial ini sebagai jalan mudah untuk kita bertindak melulu sebaliknya dengan memanfaatkannya untuk kebaikan bersama perlu dilakukan terutama untuk meningkatkan lagi mutu kerja pemimpin peringkat akar umbi,” katanya.

Sehubungan dengan itu juga, Suhaili yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bahagian Silam turut menyeru ahli-ahli parti agar menolak sebarang provokasi pembangkang tentang gerakan parti baharu menjelang pilihan raya.

“Kita perlu mentaati pemimpin kita kerana pemimpin UMNO telah membuktikan kerajaan telah banyak memberi kemudahan dan kemajuan pada rakyat terutama di kawasan Tungku ini.”

“Untuk apa kita menyokong pembangkang sekiranya kita tahu kerajaan yang mentadbir kita hari inilah yang selama ini menjaga rakyat dengan pelbagai kemudahan sejak kita merdeka,” katanya.