Sejarah dan latar belakang daerah Saribas didokumentasi

0

Idea membukukan latar belakang Saribas merupakan idea baharu yang belum pernah dibuat sebelum ini

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Sejarah dan latar belakang daerah Saribas, Betong akan didokumentasi menjadi buku untuk rujukan mana-mana pihak relevan.

Menurut Pengerusi Persatuan Warga Islam Saribas (PERWARIS) Datuk Abang Jemat Abang Bujang, idea untuk membukukan latar belakang Saribas merupakan idea baharu yang belum pernah dibuat sebelum ini.

“Inilah masa yang bersesuaian sekali untuk kita sebagai warga Saribas berkumpul dalam satu seminar untuk kita membincang dan mengumpul seberapa banyak maklumat serta input menyentuh keseluruhan daerah Saribas.

“Sekarang kita telah berjaya mengumpul seberapa banyak material dan bahan berkaitan, jadi kita akan mendokumentasi serta membukukan tentang Saribas agar ia boleh digunakan sebagai bahan rujukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sekolah dan mana-mana pihak relevan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Seminar Budaya Melayu Saribas anjuran PERWARIS di Hotel Riverside Majestic di sini, malam kelmarin.

Katanya dokumentasi Saribas itu kelak akan meliputi aspek keaslian Saribas termasuk agama, pendidikan, budaya, kegiatan ekonomi, sejarah dan banyak lagi.

“Selain itu, pertemuan kita (warga Saribas) dalam seminar selaras dengan tumpuan PERWARIS yang cuba memanfaatkan serta mewujudkan budaya Melayu Saribas.

“Justeru, untuk tujuan itu PERWARIS mengalukan jalinan kerjasama dengan pusat pengembangan bahasa dan sastera seperti DBP serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Sejarah Sarawak, Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dan banyak lagi,” jelasnya.

Difahamkan, Saribas merangkumi kawasan dari Muara Saribas, Maludam, Semarang, Sepinang, Beladin, Ulu Saribas, Spaoh sehingga Betong.

Pada sebelah pagi kelmarin, Seminar Budaya Melayu Saribas telah disertai kira-kira 150 peserta daripada kalangan warga Saribas, berlangsung dengan jayanya dan ia diadakan bertujuan memperkasa wacana ilmu dalam kalangan peserta berhubung matlamat sejarah dan budaya Melayu Saribas sebagai usaha pendokumentasian dan penerbitan.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PERWARIS Dr Shahri Abdul Rahman, Setiausaha PERWARIS Abang Yusuf Abang Spawi dan AJK Kecil Pengelola Abdullah Subat.