Serah pekerja haram di bawah Program 3+1

0
KENANGAN: Ken (enam kiri) merakam kenangan bersama yang lain sebelum penutupan Program Transformasi Minda (PTM) Pegawai Imigresen Gred KP19 di Pusat Latihan Sarawak JAKIM, Telaga Air semalam.

KENANGAN: Ken (enam kiri) merakam kenangan bersama yang lain sebelum penutupan Program Transformasi Minda (PTM) Pegawai Imigresen Gred KP19 di Pusat Latihan Sarawak JAKIM, Telaga Air semalam.

Daripada 13,000 pendatang asing diperiksa setakat ini, 1,300 PATI ditangkap dengan majoriti bekerja di ladang

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Pemilik syarikat perladangan di negeri digesa tampil menyerahkan pekerja haram mereka di bawah Program 3+1 Jabatan Imigresen Malaysia.

Gesaan ini dibuat oleh Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak Ken Leben pada sidang media sebelum penutupan Program Transformasi Minda (PTM) untuk Pegawai Imigresen Gred KP19.

Program tersebut berlangsung selama seminggu di Pusat Latihan Sarawak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Telaga Air bermula 18 hingga 24 Julai serentak di seluruh negara.

Jelas Ken, daripada 13,000 pendatang asing yang diperiksa dari tempoh Januari hingga semalam, seramai 1,300 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dengan majoriti bekerja di ladang-ladang.

“Jadi, saya menggesa pemilik syarikat perladangan untuk tampil membantu pihak imigresen mengatasi masalah kebanjiran PATI dengan menyerahkan pekerja haram mereka di bawah Program 3 +1.

“Di bawah program ini, semua permohonan yang melibatkan PATI akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 dan pas khas berbayar RM100,” katanya sambil menambah, setakat ini hanya 500 orang PATI tampil menyerah diri secara sukarela.

Mengulas mengenai PTM, ia menurut Ken diwajibkan bagi semua rekrut baharu imigresen dan dijalankan secara serentak di seluruh negara selama seminggu.

Tujuan program ini katanya, adalah untuk melahirkan pegawai imigresen berminda kelas pertama yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta berintegriti dalam menjalankan tugas.

Bagi Sarawak, program seminggu itu disertai seramai 28  rekrut baharu imigresen sebelum ditempatkan bergantung kepada kekosongan dan kesuaian.

“Jabatan Imigresen Sarawak masih lagi kekurangan kakitangan bagi mengisi baiki kekosongan melibatkan pelbagai jawatan terutama di pintu-pintu masuk negeri ini.

“Keseluruhannya sebanyak 1,500 lebih jawatan ditawarkan dalam Jabatan Imigresen Sarawak melibatkan pelbagai pangkat yang mana setakat ini telah diisi oleh 1,427 penjawat.

“Saya yakin, kita dapat mengisi semua 1,500 lebih jawatan ini dalam masa terdekat ini terutama bagi kekosongan di pintu masuk negeri,” katanya sambil menambah, terdapat 31 pintu masuk di Sarawak dengan tujuh pintu masuk udara, 14 darat dan 10 laut.