SUKMA platform terbaik latih, persiapkan atlet sertai sukan peringkat antarabangsa

0

KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) merupakan platform terbaik melatih dan mempersiapkan atlet tempatan negara ini menyertai sukan di peringkat antarabangsa.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, menjadi harapan tinggi kerajaan khasnya, untuk mencungkil ramai bakat dalam kalangan atlet negara ini yang mewakili negeri dan sukan masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada  perasmian acara pencak silat SUKMA XVIII di Stadium Tertutup Kota Samarahan di sini, semalam.

“Besar harapan kita sebagai pihak kerajaan negeri supaya Malaysia amnya dan Sarawak khasnya, dapat melahirkan anak-anak berbakat yang boleh kita letakkan untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh, sukan yang dirasmikan hari ini (semalam) ialah sukan pencak silat, kita juga berharap supaya Malaysia juga dapat memperkenalkan ahli sukan silat pada acara Sukan SEA dan mana-mana sukan di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, seni silat yang dipelihara sejak dahulu lagi perlu terus dikekalkan sehingga ke generasi hari ini.

Katanya semangat kesopanan dalam seni mempertahankan diri itu juga hendaklah diteruskan  agar terjamin kualiti seni silat tersebut.

“Kepada para atlet sukan silat kita hari ini, teruskan perjuangan dan semangat anda dalam memelihara seni silat ini dan lakukan yang terbaik sehingga seni silat yang kita miliki boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya.

Pada majlis itu, turut dipersembahkan ialah bacaan ikrar pesilat dan ikrar juri silat selain persembahan pembukaan acara silat oleh Rumpun Silat Sarawak.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Senator Tan Sri Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.