Tapak urus setia sukan layar SUKMA ditakungi air

0

MIRI: Hujan lebat hampir empat jam di sini semalam menyebabkan sebahagian kawasan Marina Bay Miri termasuk tapak urus setia sukan layar Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII ditakungi air sedalam hampir dua kaki.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) Dua Henry Jugah memberitahu, seramai enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng diketuai beliau sendiri ditugaskan membuang air bertakung itu.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati air memenuhi kawasan tapak khemah urus setia dan khemah peserta kapal layar,” katanya di sini, semalam.

Marina Bay merupakan lokasi penganjuran sukan layar SUKMA XVIII bermula 25 hingga 30 Julai ini.

Henry berkata keluasan kawasan terjejas dianggarkan 24 kaki persegi.

Bomba menerima panggilan melakukan khidmat khas jam 2.33 petang dan tiba di lokasi jam 2.46 petang.

“Operasi membuang air hujan bertakung di kawasan tapak khemah tersebut terus dijalankan dengan mengepam air menggunakan pam jentera untuk dibuang ke muara Marina Bay sehingga selesai,” katanya sambil menambah, operasi selesai jam 3.40 petang.