Mayat lelaki bertatu naga ditemui terapung

0
TANPA IDENTITI: Mayat lelaki ditemui di Wharf No.4, Kem A Rimbunan Hijau Log Pond, Tanjung Manis kelmarin.

TANPA IDENTITI: Mayat lelaki ditemui di Wharf No.4, Kem A Rimbunan Hijau Log Pond, Tanjung Manis kelmarin.

SARIKEI: Mayat lelaki dalam keadaan bogel dan mempunyai tatu gambar naga di belakang badan dan bertulis ‘Loso The Big Love Messy’ bahu sebelah kiri ditemui orang awam di Wharf No.4, Kem A Rimbunan Hijau Log Pond, Tanjung Manis kelmarin.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintendan Mat Jusoh Muhamad berkata mayat terbabit ditemui terapung oleh orang awam sekitar jam 9 pagi di perairan Sungai Rajang.

“Berdasarkan siasatan awal hampir semua badan mangsa berada dalam keadaan sempurna, cuma kepala mayat tersebut hanya tinggal tengkorak sehingga ke paras leher dipercayai dimakan hidupan air.

“Tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersama mayat tersebut. Ciri-ciri mayat itu ialah mempunyai ketinggian sekitar 160 hingga 170 sentimeter, berbadan gempal serta berkulit warna coklat,” katanya di sini, semalam.

Mangsa dipercayai berada di dalam air sekitar lapan hari berdasarkan keadaan mayat yang berbau dan kulit badan mangsa tertanggal dari badan.

Menurut Mat Jusoh, tiada sebarang tanda kecederaan yang mencurigakan pada tubuh mangsa.

“Siasatan awal mendapati dalam tempoh terdekat ini, tiada mana-mana pihak membuat laporan orang hilang atau orang terjatuh ke dalam sungai,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses bedah siasat. Hingga kini kes ini masih dalam siasatan polis.

“Kita mahu mana-mana pihak atau individu mempunyai saudara-mara seperti ciri-ciri mayat mangsa agar berhubung dengan Sarjan Gadong Jawi di Balai Polis Tanjung Manis di talian 019-8384580 dengan kadar segera,” katanya.