Perahu layar sasar tiga pingat

0

MIRI: Pasukan Perahu Layar Sarawak mensasarkan tiga pingat dalam dua kategori Windsurfing Lelaki, Windsurfing Wanita dan Laser Standard pada hari pembukaan tirai acara perahu layar Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) di Jeti Marina Bay Miri semalam.

Penolong Jurulatihnya, Ismadol Maso’ot berkata beliau optimis atlet-atlet Windsurfing Lelaki dan Windsurfing Wanita mampu menyumbangkan pingat perak dan gangsa.

“Kita meletakkan harapan tinggi dengan mensasarkan pingat perak dan gangsa Windsurfing Lelaki dan Wanita serta perak untuk kategori Laser Standard,” katanya ditemui di sini semalam.

Beliau mengharapkan tuah memihak kepada Sarawak dalam lain-lain kategori memandangkan ia adalah penyertaan julung kali Sarawak bersaing dalam acara perahu layar.

“Kita masih baharu dalam acara perahu layar dan ratarata atlet kita berusia antara 13 hingga 17 tahun, kita memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk mencapai kejayaan dalam acara ini,” jelasnya.

Pada SUKMA kali ini, Sarawak mengambil bahagian dalam lima kategori iaitu Windsurfing (lelaki dan wanita), Laser 4.7’s (lelaki dan wanita), Laser Radial Individu (lelaki dan wanita), Optimist Individu (lelaki dan wanita), International Event 427 (lelaki dan wanita), Laser Standard dan Optimist berpasukan.

Sementara itu, majlis pelepasan peserta perahu layar bagi semua kategori telah disempurnakan oleh Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan merangkap Menteri Muda Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin.