Skuad takraw wanita intai peluang ke perlawanan akhir

0
LIBASAN MAUT: Pemain Sabah (kuning) cuba menghalang libasan pemain Wilayah Persekutuan dalam perebutan tempat Kumpulan X di Stadium Bandaraya Miri semalam.

LIBASAN MAUT: Pemain Sabah (kuning) cuba menghalang libasan pemain Wilayah Persekutuan dalam perebutan tempat Kumpulan X di Stadium Bandaraya Miri semalam.

MIRI: Pasukan sepak takraw berpasukan wanita Sarawak mengintai peluang ke perlawanan akhir selepas mengalahkan juara bertahan, Sabah dengan 2-1 pada saingan peringkat kedua dalam Kumpulan X semalam.

Sarawak berada di tangga teratas Kumpulan C dijadualkan menentang Sabah yang juga ditabalkan sebagai juara Kumpulan A pada malam kelmarin.

Dengan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah, Sarawak memulakan rentak kemenangan pertama menerusi regu A dengan 21-16 set pertama dan 21-15 set kedua.

Keghairahan Sarawak mencipta kemenangan seterusnya tercapai selepas regu B turut meranapkan impian Sabah pada perlawanan kedua dengan 21-6 set pertama dan 21-15 set kedua.

Sabah yang kalah kedua-dua regu A dan B bagaimanapun tidak patah semangat sebaliknya berjaya menumbangkan Sarawak menerusi regu C dengan 21-18 dan 21-10.

Keputusan itu cukup menyaksikan Sarawak berada di hadapan selepas mengalahkan Sabah dengan 2-1.

Sarawak selepas ini (malam ini) dijadualkan menentang Wilayah Persekutuan dan sekiranya menang maka Sarawak melangkah ke peringkat akhir menentang juara kumpulan Y sama ada Perak atau Pulau Pinang.

Sementara itu, dalam perlawanan kedua Kumpulan X antara Sabah menentang Wilayah Persekutuan pagi semalam, Sabah mengubati kekecewaan dengan menang regu A dengan 21-5 dan 21- 1.

Bagaimanapun, Wilayah Persekutuan membalas kekalahan tersebut menerusi regu B dengan 25-23 set pertama namun kalah set kedua dengan 21-17, perlawanan penentuan menyaksikan Sabah menang set ketiga dengan 21-13.

Regu C Sabah terus menghukum pasukan lawan apabila turut menang set pertama 21-7 dan 21-19 sekali gus menjadikan Sabah menang keseluruhan dengan 3-0.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan Y, Pulau Pinang menumbangkan Terengganu dengan 2-1 dan dijadualkan bertemu Perak bagi merebut kedudukan juara Kumpulan Y.

Perak kini berada di kedudukan teratas Kumpulan Y selepas mengalahkan Terengganu 3-0, kedudukan itu dijangka berubah dengan pertembungan Perak dan Pulau Pinang pada sebelah malam ini.