Waspada sentimen kebencian

0

Sentimen ini diguna untuk mewujudkan pergolakan seterusnya meruntuhkan kedaulatan negara

MESRA:Fadillah (dua kanan) bersalaman dengan rakyat sejurus tiba pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Komuniti 1Malaysia (K1M) Kolong Satu Taman Malihah dan Alamanda Indah, ditemani Fazruddin (tiga kanan) kelmarin.

MESRA:Fadillah (dua kanan) bersalaman dengan rakyat sejurus tiba pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Komuniti 1Malaysia (K1M) Kolong Satu Taman Malihah dan Alamanda Indah, ditemani Fazruddin (tiga kanan) kelmarin.

// Oleh Henrietta Liza //

KUCHING: Rakyat dinasihati agar berhati-hati dengan gerakan yang menggunakan sentimen kebencian untuk mewujudkan pergolakan dalam negara seterusnya meruntuhkan kedaulatan negara.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata Sarawak dan Malaysia amnya sedang berhadapan dengan cabaran yang besar bagi memintas gerakan tersebut yang jelasnya akan menggugat persefahaman yang telah lama dipupuk selama ini.

“Gerakan tersebut menggunakan sentimen berbentuk kebencian dalam usaha mereka  memecahkan perpaduan rakyat.

“Melalui keretakan persefahaman perhubungan itu maka akan ada pihak yang mengambil peluang untuk mendapat kuasa atau menggunakan apa sahaja kaedah yang mereka fikirkan untuk kebaikan diri sendiri.

“Ia kini semakin menular di Sarawak, sebab itu  pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing dalam memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menjaga keharmonian itu dengan menganjurkan lebih banyak program kemasyarakatan,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Komuniti 1Malaysia (K1M) Kolong Satu Taman Malihah dan Alamanda Indah di Dewan Serba Guna Taman Malihah petang kelmarin.

Fadillah berkata masyarakat perlu mempergiatkan penglibatan dengan skim kesukarelaan untuk menjaga kawasan kampung dan perumahan.

Beliau turut menyarankan pasukan keselamatan turut menjadi mata dan telinga kerajaan agar semua maklum balas dan maklumat dapat diakses dengan cepat dan tepat untuk disampaikan kepada rakyat.

“Jika didatangi mereka yang disyaki daripada gerakan ektremis, rakyat harus memaklumkannya kepada pihak polis supaya siasatan dapat dilakukan dengan mengambil langkah pencegahan awal,” katanya.

Dewasa ini, penggunaan IT dan media sosial memudahkan orang untuk berhubung tetapi ia tidak boleh disalahgunakan untuk mempengaruhi masyarakat mempercayai maklumat yang kurang sihat, jelasnya.

“Cabaran hari ini turut datang dari dalam negeri iaitu berdepan dengan ancaman daripada orang dalam negara kita sendiri yang cuba membawa campur tangan asing bagi mempengaruhi pemilihan kuasa dalam negara,” katanya.

Sebelum ini, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata kebinasaan dalam negara telah terjadi di Timur Tengah, Mesir dan Syria.

Justeru, generasi muda hendaklah memahami perjuangan pemimpin yang lepas untuk memahami sejarah bagaimana Sarawak terbentuk dan hasrat pemimpin terdahulu sewaktu membentuk sebuah negara.

“Kalau kita salah langkah, mudah terpengaruh maka keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang kita nikmati sejak dahulu lagi akan musnah dalam sekelip mata.

“Di Turki, walaupun terdapat perselisihan faham dalam negara tersebut tetapi masih dapat mempertahankan proses demokrasi dan cabaran sedemikian akan kita hadapi jika kita leka,” ujarnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong Fazruddin Abdul Rahman dan Senator Dr Zaiedi Suhaili.