Ganja: Tiga pelajar IPTA dicekup polis

4
DIRAMPAS: Dadah jenis ganja yang dirampas daripada suspek.

DIRAMPAS: Dadah jenis ganja yang dirampas daripada suspek.

KUCHING: Tiga pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan selepas didapati memiliki ganja bernilai RM2,000 minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintenden Lukas Aket berkata ketiga-tiga pelajar terbabit termasuk seorang wanita ditahan kerana memiliki ganja seberat 367 gram di Kota Samarahan, Jumaat lalu.

Menurutnya, ketiga-tiga pelajar terbabit berusia antara 20 dan 23 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Bertindak atas maklumat pengedaran dadah pada 22 Julai lepas iaitu sekitar jam 11.45 malam, sepasukan polis dari JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) menjalankan operasi dan menangkap dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan terhadap mereka yang juga merupakan pelajar sebuah IPTA telah berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 367 gram dan dianggarkan bernilai RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Lukas berkata, ketiga-tiga pelajar tersebut juga telah menjalani ujian saringan air kencing dan dua pelajar lelaki didapati positif dadah jenis Amphetamine.

“Ketiga-tiga mereka kini masih direman sehingga 29 Julai ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, ini merupakan kes ketiga tangkapan dadah membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun ini.

“Kita percaya lebih ramai lagi akan ditangkap untuk diambil tindakan hasil daripada penangkapan ketiga-tiga pelajar ini,” katanya.