Lelaki warga asing dihadap ke mahkamah miliki dadah

0

MIRI: Seorang lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas dua tuduhan berasingan memiliki dan menggunakan dadah berbahaya.

Rudy Parera Prasuta, 41, dari Tumpiling Sulawesi Barat, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa di bawah ADB 1952, disyaki memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 2.05 gram (berat kasar).

Methamphetamine merupakan satu item yang terkandung dalam jadual Pertama ADB 1952.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 10.30 pagi, pada 21 Julai lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Bekenu, dekat sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana disyaki mengunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (akta 234) dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 12.35 tengah hari, pada 21 Julai lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu sebutan lanjut bagi kedua-dua kes ini memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum diterima.

Majistret Lovely Natasha Charles membenarkan permohonan itu dan menetapkan 29 Ogos depan sebutan lanjut kedua-dua kes tersebut.

Manakala tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana merupakan warga asing diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara tarikh tersebut.