Mangsa Bujang Seblak?

0

Oleh Saleman Senin dan Kepu Sidi//

SAR: Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa sedang dijalankan di Sungai Seblak.

SAR: Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa sedang dijalankan di Sungai Seblak.

ROBAN: Seorang lelaki warga emas hilang dikhuatiri menjadi mangsa terbaharu Bujang Seblak dalam kejadian di Sungai Seblak, Lubok Paley, Tanjung Rengan Sessang petang kelmarin.

Suhaili Ladi, 62, berasal dari Kampung Sessang yang dipercayai mangsa ketujuh Bujang Seblak, hilang ketika menangkap udang di sungai tersebut yang terkenal dengan kes-kes serangan buaya.

Menurut isterinya, Uteh Ilin, 56, mangsa turun ke sungai seorang diri sekitar jam 1 petang untuk menangkap udang.

“Biasanya dia akan pulang sekitar jam 6 petang, namun semalam (kelmarin) dia tidak kelihatan sehingga lewat petang dan saya mula risau,” ujarnya.

Khuatir hari semakin senja dan suaminya masih belum pulang, Uteh bertindak memberitahu perkara itu kepada penduduk kampung sekitar jam 6.30 petang.

“Sejurus kemudian, penduduk kampung melancarkan usaha untuk menjejaki suami saya.

“Kira-kira jam 9 malam, penduduk menemui perahu milik suami saya hanyut di sungai dan hasil tangkapan beliau tidak terusik di dalam perahunya.

“Justeru, penduduk bimbang suami saya telah menjadi mangsa serangan buaya di sungai terbabit,” katanya kepada media semalam.

Susulan penemuan perahu itu, penduduk terus menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan mencari dan menyelamat mangsa.

Menurut keluarganya, mangsa yang turun ke sungai dengan memakai baju lengan panjang berwarna putih dan berseluar jeans sebelum ini tidak mengalami masalah kesihatan.

TERDAMPAR: Perahu yang digunakan oleh mangsa pada hari kejadian.

TERDAMPAR: Perahu yang digunakan oleh mangsa pada hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Mohamad Darul Azreen Md Desa berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 malam.

“Sebaik sahaja menerima panggilan tersebut, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi pada jam 11.16 malam operasi mencari dan menyelamat dilancarkan dengan pencarian tertumpu di tebing sungai.

“Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan pada jam 12.02 tengah malam kerana keadaan terlalu gelap dan pencarian diteruskan pagi ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata, pencarian masih belum membuahkan hasil setakat jam 6.40 petang semalam dan operasi akan disambung semula hari ini.

Turut menyertai operasi mencari dan menyelamat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Che Kadir, Pejabat Residen Betong, Pejabat Daerah Kabong, Sarawak Forestry Corporation (SFC) Sibu, RELA Kabong, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Penerangan dan penduduk kampung.