Masuk secara haram, kes lelaki warga asing ditangguh ke 28 Julai

0

MIRI: Mahkamah Majistret di sini menangguhkan sehingga 28 Julai ini untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki warga asing yang dituduh masuk ke negeri ini secara haram.

Penangguhan itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles memandangkan hakim Mahkamah Sesyen di sini yang sepatutnya mendengar kes tersebut sedang berada di luar kawasan atas tugas rasmi.

Ali Razzak, 30, dari Pontianak, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang bukan warga negara Malaysia didapati masuk ke negeri ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 10.45 malam, pada 18 Julai lalu di Jalan Cina di sini.

Manakala dalam satu kes berasingan, mahkamah turut menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki warga Indonesia dituduh tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah dibenarkan.

Samsudin, 28, dari Pontianak, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh didapati masih tinggal di negeri ini setelah pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh sah pada 3 Julai lalu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 11.40 malam, pada 19 Julai lalu di hadapan sebuah kedai, Jalan Haji Lampan di sini.

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.