Mayat lelaki ditemukan tanpa tangan dan kaki

0
CARI: Anggota penyelamat melakukan pencarian mangsa di Sungai Tenigang, petang Sabtu.

CARI: Anggota penyelamat melakukan pencarian mangsa di Sungai Tenigang, petang Sabtu.

KINABATANGAN: Seorang lelaki yang sedang memukat ikan dan dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya, ditemukan tanpa tangan dan kaki di Sungai Tenigang, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Superintendan A Sahak Rahmat berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Asis Tahir, 34, merupakan pekerja di Ladang Amalania Koko Berhad.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, katanya, mangsa dikatakan telah dibaham seekor buaya semasa memukat ikan di Sungai Genting Tenegang Plantation.

Katanya pihak majikan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 6.40 petang Sabtu.

“Sebelum kejadian kira-kira 2 petang, mangsa bersama rakannya pergi memukat ikan,” katanya.

Sahak berkata rakan mangsa yang berada di tebing sungai berkenaan telah melihat mangsa dibaham oleh seekor buaya dan terus hilang dari permukaan air.

“Bertindak daripada laporan itu, anggota polis dari Balai Polis Sukau bersama pasukan polis marin bergegas ke tempat kejadian bagi mencari mangsa,” katanya.

Beliau berkata pihaknya dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan Polis Marin telah melakukan pencarian di sekitar kawasan sungai berkenaan.

“Kira-kira jam 11.15 pagi, pasukan penyelamat telah menjumpai satu mayat tanpa tangan dan kaki di sungai terbabit.

“Mayat berkenaan telah dibawa naik ke darat dan pengecaman dilakukan oleh anggota keluarga,” katanya.

Katanya pengecaman mendapati mayat berkenaan adalah mangsa, lalu dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk dibedah siasat.