Ugutan jenayah: Lelaki dipenjara empat hari, denda RM2,000

0

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah tertuduh, Eden Wan mengaku bersalah atas tuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Mujan Wan, 42, menggunakan sebilah pisau dengan niat hendak mendatangkan kematian atau kecederaan parah ke atas mangsa.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 7.10 malam, pada 18 Julai lalu di sebuah rumah, Pujut Sg Adong di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertama sambil memberitahu bertindak sedemikian kerana marah perbuatan mangsa yang juga adiknya kerana sering berhutang termasuk dengan ceti haram.