Umpan guna wanita sebelum merompak

0

Oleh Jeremy Lanson//

KUCHING: Dua lelaki diumpan menggunakan wanita sebelum dirompak dalam dua kejadian berasingan di sekitar bandar raya ini.

Menurut sumber, insiden terbaharu dilaporkan berlaku pada sekitar jam 3.40 pagi semalam ketika mangsa yang berasal dari Sungai Lumut, Jalan Sultan Tengah terserempak dengan seorang wanita di Kampung Tabuan Hilir.

Mangsa, 17, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya ketika itu dikatakan ditahan wanita terbabit yang kemudian meminta menghantarnya ke satu lorong berdekatan.

“Atas rasa belas kasihan, mangsa kemudian menumpangkan wanita terbabit dan setibanya di lorong tersebut, dia terkejut apabila melihat dua lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang panjang.

“Kedua-dua lelaki tersebut kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan barang berharga dan mengugut akan mencederakannya jika cuba melawan,” kata sumber.

Difahamkan, mangsa juga ditumbuk menyebabkan dia terpaksa menyerahkan gelang dan rantai perak yang dipakainya, serta telefon bimbit dan wang tunai kepada kedua-dua lelaki tersebut.

“Mangsa yang diarahkan beredar dari tempat kejadian selepas menyerahkan barang-barang tersebut kemudian membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” kata sumber.

Sementara itu, kejadian sebelum ini dilaporkan berlaku di Jalan Hashim Jaafar apabila mangsa yang berusia 22 tahun telah diajak berjumpa oleh seorang wanita yang dikenalinya melalui aplikasi Wechat.

Sumber memberitahu, insiden berlaku sekitar jam 12 tengah malam Isnin lepas sebaik sahaja mangsa menjemput wanita berkenaan yang kemudian berjumpa dengan dua lagi lelaki.

“Dua lelaki terbabit kemudian meminta mangsa menghantar mereka ke Taman Sepakat Jaya, dan ketika dalam perjalanan seorang daripada lelaki terbabit kemudian bertindak mencekik mangsa dan mengarahkannya berhenti.

“Sebaik sahaja kereta diberhentikan, mangsa diarah untuk menyerahkan barang berharga dan kerana ketakutan mangsa bertindak melarikan diri meninggalkan keretanya di tempat kejadian,” kata sumber.

Mangsa telah dibantu oleh penduduk di kawasan tersebut yang kemudian terus membuat laporan polis berhubung kejadian.

Kedua-dua kes tersebut masih dalam siasatan polis dan kereta mangsa jenis Atos juga telah ditemui semula selepas dilarikan suspek dari tempat kejadian.