Wanita maut kereta tembung van

0
REMUK: Keadaan kereta mangsa dan van tersebut selepas kemalangan.

REMUK: Keadaan kereta mangsa dan van tersebut selepas kemalangan.

KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita terbunuh selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah van di Kilometer 22 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, dekat sini semalam.

Mangsa ialah Timna Martin Gedom berusia 24 tahun dan berasal dari Rumah Panjang Berbanggai Kiba, Betong.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak DSP Alexson Naga berkata, mangsa semasa kejadian sekitar jam 2.30 petang dipercayai dalam perjalanan dari arah Sadong Jaya.

“Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah Myvi yang dipandu mangsa dan sebuah van.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa yang menghala ke Kota Samarahan terbabas di laluan berselekoh sehingga memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan van tersebut.

“Ekoran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu van berusia 50 tahun dan berasal Kampung Hilir Beladin, Pusa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.