Kerana tidak diiktiraf

0

Syarikat didenda selepas mengaku bersalah guna logo halal tidak diiktiraf, namun kini sudah menerima perakuan halal

PENGESAHAN: Abd Hafidz menunjukkan perbandingan logo halal tidak diperakui dalam pembungkusan beras, manakala Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS Khalipah Juli (kiri) menunjukkan sijil pengesahan halal yang baharu diluluskan kepada syarikat tersebut.

PENGESAHAN: Abd Hafidz menunjukkan perbandingan logo halal tidak diperakui dalam pembungkusan beras, manakala Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS Khalipah Juli (kiri) menunjukkan sijil pengesahan halal yang baharu diluluskan kepada syarikat tersebut.

// Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Sebuah syarikat pembungkusan beras di kawasan perindustrian Demak Laut di sini semalam dijatuhkan hukuman denda RM50,000 selepas didapati bersalah menggunakan logo halal tidak diiktiraf ke atas tujuh jenama beras.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad dari Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu selepas pemilik K.E.K Trading (Kuching) Sdn Bhd mengaku bersalah.

Syarikat itu dituduh di bawah Perintah 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) kerana membekalkan makanan iaitu beras sebanyak 1,283 kampit menggunakan logo halal tidak diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahupun Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Jenama-jenama beras berkenaan ialah Double Fish Thai Horn Maii, Arowana Fragrant Rice, Rooster Super White, Ibuku Local Sarawak White Rice, Ibuku Vita Brown Rice White, Ibuku Vita Brown Rice Red dan Beras Pulut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Nurul Azrina Mohamed Yusof.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengarah Pejabat KPDNKK Sarawak Abd Hafidz A Rahim berkata, mahkamah telah menyerahkan kesemua beras yang disita kepada pihaknya untuk dilupuskan.

Syarikat itu diserbu pada 16 Disember 2015 oleh pasukan penguat kuasa KPDNKK bersama pegawai-pegawai JAIS selepas bertindak atas risikan.

Kesemua beras dibungkus syarikat yang didapati menggunakan logo halal tidak diperakui sejak November tahun lepas, kemudiannya ditarik balik dari pasaran serta disita.

Bagaimanapun, syarikat itu pada awal tahun ini telah memohon penggunaan logo halal daripada JAIS dan telah pun menerima sijil perakuan halal.

“Walaupun kini mempunyai sijil perakuan halal namun kesalahan lama tetap wujud,” katanya.

Abd Hafidz menambah, pihaknya dengan kerjasama JAIS akan terus memantau supaya tidak ada barangan yang diletakkan logo halal tanpa kelulusan JAIS atau JAKIM di pasaran.

Beliau menegaskan, tidak ada persatuan atau badan lain sama ada di dalam atau luar negara yang boleh mengeluarkan logo halal tersebut.

“Penggunaan logo halal yang bukan diluluskan JAIS atau JAKIM tidak dibenar untuk digunakan dalam negara,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai makanan-makanan yang diimport dari luar negara, beliau memberitahu, JAKIM juga akan melawat tempat-tempat tersebut bagi menjalankan pemeriksaan jika ia mengikut piawaian ditetapkan.

“Pihak JAKIM akan pergi ke tempat-tempat tersebut untuk membuat pemeriksaan jika ia mengikut piawaian ditetapkan sebelum meluluskan logo halal,” katanya.