Banduan pengganas diasing daripada banduan lain

0

Ia bagi elak kumpulan itu sebar, pengaruhi banduan, staf serta warden penjara dengan ideologi mereka

// Oleh Jessica Jawing //

DUIT RAYA: Ahmad Zahid (dua kanan) bersama isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis (kanan) menyerahkan duit raya kepada anak-anak yatim pada Majlis Ramah-Tamah KDN Sarawak, semalam. Turut kelihatan Masir (tiga kanan).

DUIT RAYA: Ahmad Zahid (dua kanan) bersama isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis (kanan) menyerahkan duit raya kepada anak-anak yatim pada Majlis Ramah-Tamah KDN Sarawak, semalam. Turut kelihatan Masir (tiga kanan).

KUCHING: Banduan jenayah ideologi atau dikenal pasti sebagai militan Daesh yang ditahan di negara ini diasingkan daripada banduan lain di penjara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi mengelakkan usaha kumpulan itu menyebar atau mempengaruhi banduan atau staf serta warden penjara dengan ideologi mereka.

Menteri Dalam Negeri itu mendedahkan bahawa terdapat juga berlaku baru-baru ini di mana tujuh warden penjara yang menjaga banduan pengganas berkenaan terpengaruh dengan ideologi mereka.

“Kami telah mengenal pasti mereka (warden) dan terus mengasingkan individu berkaitan selain melakukan program deradikalisasi kepada mereka.

“Sebenarnya pengasingan banduan pengganas ini telah kita mulakan Januari lepas dan baru-baru ini kita juga telah memperbaiki satu blok di Kem Tahanan Kamunting (Perak) bagi menempatkan banduan pengganas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sarawak 2016 yang dihadiri dua Timbalan Menteri KDN, Masir Kujat serta Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar di sini, semalam.

Tambah Zahid, kementerian akan meletakkan wakil di penjara berkenaan termasuk Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ahli psikologi sama ada daripada Kementerian Kesihatan atau universiti serta wakil ulama, untuk mengendalikan program deradikalisasi kepada tahanan terbabit.

Sementara itu dalam ucapannya terdahulu, beliau mendedahkan bahawa seramai 261 individu dikenal pasti sebagai militan Daesh ditahan di negara ini, juga terdiri daripada rakyat Malaysia sementara 63 rakyat Malaysia dikenalpasti kini berada di Syria dan Iraq berjuang bersama militan Negara Islam (IS).

“Di negara ini, saya telah mengarahkan ketua pengarah penjara untuk mengasingkan tahanan ini  daripada banduan lain di penjara supaya mereka tidak akan menyebar dan mempengaruhi banduan lain.

“Bukan itu sahaja, kita juga menyediakan program deradikalisasi kepada tahanan pengganas ini agar mereka dapat pulih serta kembali ke pangkuan keluarga.

“Untuk makluman, Malaysia mempunyai pengalaman dalam program deradikalisasi,” tegasnya.

Mengulas mengenai sambutan ramah tamah yang diadakan, Ahmad Zahid berkata, ia merupakan program yang amat baik dalam mengeratkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum bagi jabatan di bawah KDN.

Beliau berharap program seperti itu diteruskan dengan perayaan lain pada  masa akan datang seperti sambutan Hari Gawai Dayak dan Hari Krismas.

“Dengan sambutan pelbagai ini, ia pasti akan meningkatkan lagi toleransi pelbagai kaum di mana kita menghormati agama masing-masing.

“Ini kerana jika kita mahu agama kita dihormati, maka kita perlu menghormati agama lain sekali gus mengeratkan perpaduan dan keharmonian,” katanya.

Sementara itu Masir yang juga pengerusi pengelola berkata program yang diadakan itu menjadi wadah dalam memupuk sikap saling memahami dan bertolak ansur antara kakitangan jabatan di bawah KDN.

“Dengan ini kita akan mengekalkan semangat muhibah yang merupakan tunjang kepada keamanan dan kemakmuran negara,” katanya.