Dadah: Tiga lagi berdepan tali gantung

0

Suspek dipercayai terlibat edar dadah selepas didapati miliki ganja seberat 1.18kg

// Oleh Jeremy Lanson //

DADAH TERUS DIBANTERAS: Tiga lagi lelaki ditahan, disyaki terlibat edar dadah  dengan penemuan ganja seberat 1.18kg

DADAH TERUS DIBANTERAS: Tiga lagi lelaki ditahan, disyaki terlibat edar dadah
dengan penemuan ganja seberat 1.18kg

KUCHING: Tiga lagi lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah selepas didapati memiliki dadah jenis ganja seberat 1.18 kilogram (kg).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan warga tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan di Petra Jaya dan Matang.

Menurutnya, serbuan oleh anggota dari Jabatan Siasatan Janayah Narkotik (JSJN) Sarawak itu dilakukan hasil risikan serta maklumat awam.

“Sekitar jam 12.30 tengah hari semalam (Rabu), anggota JSJN IPD Kuching menjalankan operasi dan berjaya menangkap dua lelaki tempatan berusia 20 tahun di Petra Jaya.

“Hasil pemeriksaan berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 1.18 kg yang dianggarkan bernilai RM24,000.

“Tindakan susulan, pada jam 10 pagi tadi (semalam), seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan di Matang,” katanya pada sidang media berhubung tangkapan tersebut, semalam.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga 4 Ogos dan pemeriksaan saringan air kencing terhadap mereka juga didapati negatif (dadah),” katanya yang turut memberitahu suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Selain itu, beliau percaya ganja yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek diperolehi dari Semenanjung Malaysia.

“Dadah ini kita percaya diperolehi dari Semenanjung Malaysia sebelum ia dibungkus kepada bungkusan yang lebih kecil untuk dijual dengan harga RM10 hingga RM20 untuk pasaran di sini,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada ketiga-tiga suspek mempunyai kaitan dengan kes tiga pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ditahan sebelum ini.

“Kita masih siasat sama ada berkaitan kes yang sebelum ini atau tidak,” katanya yang turut memberitahu ketiga-tiga suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai dan Ketua JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK) Superintenden Lukas Aket.

DIRAMPAS: Ganja yang telah dibungkus untuk dijual dengan harga sekitar RM10 sehingga RM20.

DIRAMPAS: Ganja yang telah dibungkus untuk dijual dengan harga sekitar RM10 sehingga RM20.