Pengeluaran panel solar boleh kurangkan perubahan iklim global

0

Berpotensi diperluas ke pasaran global sebagai tenaga boleh diperbaharui

PETALING JAYA: Pengeluaran panel solar dan bahan bakar bio daripada minyak sawit Malaysia berpotensi diperluaskan ke pasaran antarabangsa sebagai tenaga boleh diperbaharui dan membantu mengurangkan perubahan iklim di seluruh dunia.

Prof Jomo Kwame Sundaram, penyandang Kursi Tun Hussein Onn di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), berkata dua industri itu penting dalam menghasilkan tenaga hijau dan alternatif yang boleh membantu menyelamatkan alam sekitar.

“Di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan bagi negara, bahan bakar bio dan tenaga solar boleh membantu mengurangkan perubahan iklim yang kini menjejaskan banyak negara.

“Bagaimanapun, dua industri ini sedang menghadapi cabaran daripada komuniti antarabangsa,” kata bekas ketua pengarah dan penyelaras Pertubuhan Pembangunan Ekonomi dan Sosial, Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bersatu itu.

Jomo berkata demikian dalam ucapan khasnya pada Persidangan Kebangsaan mengenai Kelestarian, Perubahan Iklim dan Tanggungjawab Sosial Korporat Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini, semalam.

Beliau juga menyuarakan harapan agar cabaran itu dapat diatasi apabila Malaysia menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang akan meluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan menggalakkan perdagangan lebih bebas.

“Malaysia memiliki banyak sumber bagi bahan bakar bio kerana ia adalah pengeluar minyak sawit.

“Ia juga kaya dengan sumber bagi pasir putih, bahan mentah untuk menghasilkan silikon gred solar, terutama di negeri kawasan utara semenanjung,” katanya pada persidangan sehari itu. — Bernama