Samun: Waspada benda pelik halang laluan

0
DICEKUP: Salah seorang daripada dua suspek berjaya diberkas di Hulu Sungai Merah, Sibu petang kelmarin.

DICEKUP: Salah seorang daripada dua suspek berjaya diberkas di Hulu Sungai Merah, Sibu petang kelmarin.

SIBU: Orang ramai diingatkan berwaspada jika terserempak dengan benda-benda pelik yang menghalang laluan mereka di jalan raya terutama di tempat sunyi pada waktu malam.

Ini kerana mungkin taktik jenayah samun yang menimpa seorang mangsa wanita ketika memandu pulang berseorangan di Jambatan Teku, Sungai Merah di sini minggu lalu.

Bagaimanapun, polis yang memandang serius jenayah samun berjaya memberkas dua suspek lelaki dalam kes tersebut petang kelmarin.

Bertindak atas maklumat, polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu berjaya menjejaki dua suspek di dua lokasi berasingan.

Suspek pertama ditahan di Hulu Sungai Merah dan seorang lagi di Jalan Kampung Nyabor di sini pada jam 4.30 petang.

Kedua-dua suspek berbangsa Cina berumur awal 40-an dibawa ke Balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut.

Semakan polis mendapati kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah dan pernah ditahan bersabit kes curi kereta dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi memberitahu pihaknya menjalankan siasatan lanjut terhadap dua suspek tersebut.

“Kedua-dua suspek terbabit disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan samun berkumpulan sehingga mendatangkan kecederaan,” jelasnya.

Dalam kejadian itu, seorang wanita ternampak tong sampah berada di atas jalan semasa melalui Jambatan Teku di sini pada kira-kira jam 9.15 malam Khamis lalu.

Disebabkan tong sampah tersebut menghalang laluan, mangsa, 48, bertindak turun dari keretanya untuk mengalihkan tong tersebut.

Tanpa disedari, dua lelaki tidak dikenali muncul dari tepi jalan dan bertindak menarik mangsa sebelum mencekik leher dan menahan badan pengadu.

Difahamkan, seorang lagi suspek mengambil beg tangan mangsa yang berada dalam kereta.

Selepas memperolehi habuan mereka, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Meskipun mangsa mencatatkan nombor plat pendaftaran motosikal digunakan dua penyamun itu namun semakan polis mendapati ia adalah palsu.

Mangsa mengalami anggaran kerugian kira-kira RM3,000 selain mengadu sakit di bahagian leher selepas insiden malang itu.

Kedua-dua suspek kini direman tiga hari sehingga 30 Julai ini bagi membantu siasatan polis.