Tingkat kesiapsiagaan hadapi apa jua insiden

0

KUCHING: Anggota keselamatan dan masyarakat keseluruhannya perlu mempertingkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi apa jua insiden walaupun tahap keselamatan dalam negara berada di peringkat optimum.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk kes tembak dan pengeboman yang tidak harus dipandang mudah oleh masyarakat, meskipun ia berskala kecil.

“Tahap keselamatan negara kita berada di peringkat optimum namun kita harus berada dalam kesiapsiagaan, ini termasuk kejadian terbaharu (kelmarin) di mana kes tembak antara dua kumpulan kongsi gelap (di ibu negara).

“Kita tidak mahu masyarakat mengambil ringan atau mudah terhadap sebarang pengeboman walaupun ia berskala kecil, yang dikhuatiri sabotaj pihak tertentu di beberapa lokasi.

“Maka itu polis meminta orang ramai dengan segera melaporkan jika ada orang disyaki di lokasi tertentu,” kata Menteri Dalam Negeri itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sarawak 2016 yang dihadiri dua Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat dan Datuk Nur Jazlan Mohamed serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar di sini, semalam.

Zahid berkata pihak polis sememangnya sentiasa meletakkan semua anggota di kedudukan semua lokasi dalam keadaan berjaga-jaga tetapi mereka tidak dapat hanya berjaga di kawasan yang dipanggil sasaran penting.

Katanya ini kerana kawasan tumpuan kini lebih berbeza iaitu melibatkan pusat-pusat yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Bagaimanapun pada 16 Ogos depan, kita akan mengadakan satu majlis pelancaran di mana kira-kira lima juta rakyat Malaysia yang telah mendaftar dalam satu skim dengan polis di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Ia adalah untuk melaporkan terus kejadian yang berlaku di depan mata mereka melalui telefon pintar dan maklumat dihantar terus kepada pusat di PDRM untuk polis ambil tindakan,” tegas beliau.

Ahmad Zahid berkata dalam membanteras jenayah khasnya berkaitan senjata api, kerajaan akan terus melaksanakan Ops Cantas 2.0 bagi mempertingkatkan lagi usaha mereka.

“Walaupun secara keseluruhan pada tahun lepas, kadar jenayah telah menurun dari segi peratusan iaitu melebihi 30 peratus tetapi persepsi masyarakat ke atas kebolehpercayaan dan keupayaan polis tidak meningkat.

“KDN juga mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertingkatkan lagi taraf pagar-pagar di sempadan negara terutama di utara Semenanjung Malaysia, iaitu melibatkan kira-kira 700 kilometer,” tegasnya sambil memberitahu bahawa pagar berkenaan dibuat pada 1960-an.

Menurut beliau lagi, satu pendekatan holistik perlu dilaksanakan dan KDN sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dan negara ini meskipun mengalami kekangan dari segi kewangan dalam menambah baik pagar di sempadan.