Warga emas maut akibat cedera parah motosikal dirempuh kereta

0
PARAH: Mangsa tiba di HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

PARAH: Mangsa tiba di HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

KUCHING: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Batu Kawah di sini, semalam.

Mangsa ialah Chai Fah Poh berusia 64 tahun dan berasal dari Taman Dusun Indah di Jalan Sejijak.

Menurut sumber, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal untuk pulang ke rumah sebelum dipercayai bertindak keluar secara melulu dari satu persimpangan sekitar jam 10 pagi.

“Ekoran itu, sebuah kereta yang bergerak dari arah Bau menuju ke pusat bandar raya dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa sehingga menyebabkan dia tercampak beberapa meter dari tempat kejadian,” kata sumber.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian kemudian segera membantu mangsa selain turut menghubungi pihak ambulans untuk bantuan kecemasan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia selepas itu,” katanya.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan dan mayat mangsa juga telah dihantar ke Unit Forensik HUS untuk bedah siasat.