Hari terakhir gimnastik bawa tuah buat Esmelda

0

KUCHING: Hari terakhir acara gimnastik artistik di Stadium Perpaduan membawa tuah buat Atlet Wanita Terbaik SUKMA 2013 dari Sarawak, Esmelda Arecia.

Ini selepas atlet kelahiran Roban, Betong itu menyumbang satu lagi emas, satu perak dan satu gangsa menjadikan kutipan pingat tuan rumah dalam acara tersebut dua emas, dua perak dan tiga gangsa.

Esmelda, 16, seperti dijangka mendominasi acara kegemarannya, batang titian dengan mengumpul 12.775 mata untuk meraih emas.

Rakan sepasukan Cassandra Lavigne Shelden menggondol perak dengan mengumpul mata sebanyak 12.550 manakala atlet Selangor, Nur Eli Ellina Azmi menggondol gangsa dengan mengumpul 12.075.

Misi Esmelda untuk menyumbang emas kedua dalam acara melombol pula tidak kesampaian selepas sekadar mengutip perak.

Beliau tewas di tangan Tan Ing Yueh dari Melaka manakala rakan sepasukannya, Nur Amira Idayah Hayadi meraih gangsa.

Esmelda turut menyumbang satu gangsa dalam acara melombol wanita dimenangi atlet Pulau Pinang, Rachel Yeoh dan perak dirangkul Natasha Ilana Raymund dari Wilayah Persekutuan.

“Sangat gembira kerana saya berjaya menyumbang dua pingat emas pada SUKMA kali ini walaupun masih bergelut dengan kecederaan.

“Ini merupakan penampilan ketiga saya pada SUKMA dan misi saya seterusnya untuk mewakili negara pada Kejohanan Sukan SEA akan datang,” kata Esmelda ditemui semalam.

Kejayaan Esmelda memastikan kontinjen gimnastik artistik Sarawak melepasi satu pingat emas yang disasarkan sebelum ini.

Tuan rumah mengutip dua emas, dua perak dan tiga gangsa sekali gus meletakkan mereka di kedudukan kempat selepas Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu.