Kecederaan, kurang rehat

0

Peluang Sarawak tempah slot suku akhir Piala Malaysia kian malap selepas tewas 0-2 di laman sendiri di tangan T-Team

// Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Peluang Sarawak menempah ke slot suku akhir Piala Malaysia kian malap ekoran kekalahan 2-0 di tangan T-Team pada perlawanan berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya malam kelmarin.

Tuan rumah gagal mengekalkan momentum kemenangan ke atas skuad sama yang mereka kalahkan dalam aksi Liga Super pada Selasa lalu.

Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop berkata faktor kecederaan dan kurang rehat akibat jadual terlalu ketat menjadi ‘dalang’ kepada kekalahan skuadnya.

“Kita amat kecewa kerana gagal memanfaat peluang di laman sendiri untuk beroleh mata penuh selain faktor pemain- pemain jelas keletihan kerana rehat tidak mencukupi serta ketiadaan tiga tonggak utama.

“Ketiadaan tiga pemain tonggak iaitu Ronny Harun, Ramesh Lai dan Dzulazlan Ibrahim ternyata memberi kesan mendalam di bahagian pertahanan kita,” katanya ketika diminta mengulas kekalahan pasukannya di sini malam kelmarin.

Kedua-dua gol T-Team dijaringkan oleh Patrick Santos Cruz masing-masing pada minit ke-68 dan ke-91.

Menurut David, skuadnya boleh memenangi perlawanan malam kelmarin tetapi tiga percubaan tepat menerusi Gilmar Da Silva dan Junior Aparecido berjaya diselamatkan penjaga gol selain bola terkena tiang dan palang gol.

“Nasib lebih memihak kepada pelawat untuk menang dan saya percaya jika tiga percubaan dilakukan masing-masing menerusi Gilmar mahupun Junior berjaya menghasilkan gol mungkin keputusan sebaliknya memihak kepada Sarawak,” tambahnya.

Katanya, pemain-pemain telah berusaha gigih memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan tersebut.

Sarawak akan menentang Terengganu di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Rabu ini (3 Ogos) pada kempen Liga Super 2016 disusuli perlawanan menentang Pulau Pinang pada 6 Ogos untuk kempen yang sama di Kuching.