Prestasi skuad angkat berat membanggakan

0

Mengutip satu pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada temasya SUKMA XVIII di Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Kontinjen angkat berat tuan rumah, Sarawak berpuas hati dengan mengutip satu emas, tiga perak dan tiga gangsa pada acara itu yang melabuhkan tirai di Dewan Jubli Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.

Jurulatih Skuad Angkat Berat Sarawak, Edmund Yeo berkata meskipun pasukannya gagal mencapai sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan namun beliau bangga dengan persembahan dan prestasi ditunjukkan anak didiknya.

“Mereka berusaha gigih serta menunjukkan persembahan terbaik sepanjang temasya ini, namun kebanyakan atlet kita adalah muka baharu dan saya yakin mereka mampu menyinar pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak 2018 nanti,” katanya ditemui di sini semalam.

Pada hari terakhir acara angkat berat kategori wanita 75 kilogram (kg) ke atas senior bahagian ‘snatch’ dan ‘clean and jerk’, kedua-dua emas dimenangi Siti Aisyah Md Rosli dari Kelantan yang mana beliau turut mencipta rekod baharu SUKMA XVIII dalam acara tersebut.

Perak dan gangsa bagi kedua-dua bahagian dalam kategori itu dimenangi Devonalornix Galvin dari Sarawak dan Caroline Joachim dari Sabah.

Sementara itu, kategori lelaki 105kg ke atas senior, keduadua pingat emas bagi bahagian ‘snatch’ dan ‘clean and jerk’ dimenangi Ndri Saparudin dari Wilayah Persekutuan dengan jumlah angkatan 293kg.

Manakala kedua-dua pingat perak bagi kategori itu dimenangi Mohamad Alif Haiman Othman dari Kelantan dengan angkatan 281kg.

Pingat gangsa bahagian ‘snatch’ dimenangi Jerry Gawan dari Sarawak manakala gangsa bagi bahagian ‘clean and jerk’ dimenangi Mohamad Zarul Iman Gima n dari Selangor.

Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depan pasukan angkat berat Sarawak, Edmund memberitahu pihaknya berharap kerajaan negeri dapat mewujudkan pusat latihan khusus untuk atlet-atlet sukan itu.

“Pada masa ini, kita menjalankan sesi latihan di Pusat Latihan Majlis Sukan Negeri (MSN) bersama atlet-atlet lain, jika kita mempunyai pusat latihan khusus untuk angkat berat ini saya yakin kita dapat menjalankan sesi latihan lebih awal dalam mempersiap atlet-atlet ke tahap lebih baik,” katanya.

Sementara itu, kontinjen Pahang merangkul juara keseluruhan acara angkat berat SUKMA XVIII dengan mengutip tujuh emas, empat perak dan satu gangsa diikuti Wilayah Persekutuan (kedua) dengan enam emas, dua perak dan empat gangsa.

Tempat ketiga disandang kontinjen Kelantan dengan lima emas, empat perak dan tiga gangsa, Sabah (4 emas, 5 perak, 8 gangsa), Terengganu (3 emas, 5 perak, 4 gangsa), Selangor (2 emas, 6 perak, 2 gangsa), Pulau Pinang (2 emas, 1 perak) dan Sarawak (1 emas, 3 perak, 3 gangsa).