Sarawak telah lakukan yang terbaik: Morshidi

0

KUCHING: Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) Sarawak 2016 melabuhkan tirai semalam menyaksikan tuan rumah, Sarawak menduduki tangga kedua dengan 57 pingat emas.

Bagaimanapun, prestasi kontinjen Sarawak mendapat komen positif meskipun gagal mencapai sasaran kutipan 72 emas sekali gus merangkul juara keseluruhan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA 2016, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata kontinjen tuan rumah telah melakukan yang terbaik dalam temasya berprestij tanah air ini.

“Atlet-atlet kita telah melakukan yang terbaik dalam setiap sukan disertai malah memberi sepenuh komitmen untuk mencapai sasaran.

“Tetapi, nasib tidak menyebelahi kita yang terpaksa menamatkan saingan temasya SUKMA XVIII di tempat kedua seperti ‘bola itu bulat’,’’ katanya pada sidang media khas di Pusat Media di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya sasaran Sarawak turut meleset selepas beberapa acara yang disasarkan menyumbang emas gagal direalisasikan.

Justeru itu, beliau berharap pasukan yang tidak berjaya agar jangan berputus asa sebaliknya berusaha lebih keras untuk meraih kejayaan pada masa akan datang.

“Kita harap selepas ini dapat menjadi juara pada SUKMA 2018 di Perak,” katanya turut berpuas hati dengan kejayaan dan kelancaran penganjuran SUKMA 2016 yang membabit semua pihak termasuk 1,400 sukarelawan dan pelbagai agensi.

Bercakap mengenai majlis penutupan malam ini, beliau berkata tiket masuk mula diedarkan kepada orang ramai mulai jam 4 petang ini di pintu masuk Stadium Sarawak.