Sepak takraw: Terengganu tepati ramalan ke pentas akhir

0

MIRI: Pemenang pingat emas SUKMA Perlis 2014 acara sepak takraw regu lelaki, Terengganu menepati ramalan ke pentas akhir selepas menundukkan Wilayah Persekutuan pada peringkat separuh akhir petang semalam.

Terengganu menang ke atas Wilayah Persekutuan pada set pertama 23-21 dan 21-8 sekali gus menang dengan kiraan mata keseluruhan 2-0.

Kemenangan itu cukup meletakkan Terengganu ke pentas akhir dan bakal bertemu dengan Pulau Pinang yang turut mencipta kemenangan ke atas Perak 21-17 set pertama dan 21-17 set kedua.

Perlawanan diadakan pada sebelah malam tadi bagi menentukan pingat emas dan perak sementara pingat gangsa masing-masing milik Wilayah Persekutuan dan Perak.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Negeri Sembilan berjaya melangkah ke pentas akhir selepas menumbangkan Johor dalam kategori beregu lelaki.

Negeri Sembilan bagaimanapun berjaya menguasai kedua-dua perlawanan iaitu menang pada set pertama 21-14 dan 21-5 pada set kedua sekali gus menyaksikan skuad itu menang keseluruhan mata 2-0.

Turut mengiringi Negeri Sembilan ke perlawanan akhir acara beregu lelaki ialah Terengganu selepas menumpaskan Selangor dalam perlawanan penuh dramatik.

Terengganu kalah pada set pertama 16-21 kepada Selangor namun bangkit pada set kedua 21-19, perlawanan dibawa ke peringkat penentuan set ketiga dan Terengganu mencipta kemenangan kedua dengan 22-20.

Kemenangan kedua-dua pasukan Terengganu dalam acara regu dan beregu lelaki itu memberi peluang negeri pantai timur itu mengintai kilauan emas.

Pasukan Selangor dan Johor yang kecundang dalam perlawanan separuh itu bagaimanapun menerima pingat gangsa.

Sementara itu, orang ramai di Stadium Bandaraya Miri yang hadir bagi menyaksikan separuh akhir sepak takraw regu dan beregu lelaki gempar selepas diarahkan keluar dari stadium akibat kebocoran gas penghawa dingin.

Ekoran kejadian itu perlawanan separuh akhir berkenaan ditunda seketika disebabkan gas penghawa dingin memenuhi ruang dalam stadium.

Separuh akhir yang dijadualkan jam 3.30 petang melibatkan lapan pasukan iaitu Terengganu,Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

Bomba dan penyelamat Miri tiba jam 3.25 petang untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun perlawanan separuh akhir diteruskan kira kira jam 4 petang.