Angkat berat: Endi catat rekod baharu

0
TAHNIAH: Endi (tengah) ditemani Rahmatullah (kanan) dan Jurulatih Mohd Solihin Abdullah.

TAHNIAH: Endi (tengah) ditemani Rahmatullah (kanan) dan Jurulatih Mohd Solihin Abdullah.

KOTA SAMARAHAN: Atlet tuan rumah, Endi Bak berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan bagi acara angkat berat kategori 54 kilogram lelaki dengan angkatan 107 kilogram sekali gus meraih pingat emas pertama pada temasya Sukan Paralimpiad Malaysia Sarawak di Dewan Jubli Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.

Rekod kebangsaan bagi kategori itu sebelum ini turut dipegang atlet angkat berat dari Sarawak David Sida dengan angkatan 95 kilogram.

Sementara itu atlet dari Kedah Mohd Azmi Aziz@ Asipun meraih pingat perak dalam acara angkat berat kategori 54 kilogram dengan mencatat angkatan 77 kilogram.

Manakala atlet dari Terengganu Arimi Azman terpaksa berputih mata untuk meraih pingat gangsa selepas gagal mencatat sebarang angkatan pada acara itu semalam.

Menurut Pengurus Pasukan Angkat Berat Paralimpiad Sarawak Rahmatullah Morshidi, beliau bangga dengan prestasi dan persembahan yang ditunjukkan anak didiknya itu pada hari pertama acara tersebut semalam.

“Saya sangat bangga dengan prestasi dan pencapaian dia (Endi).

Ini adalah kali pertama saya mengetuai pasukan angkat berat Paralimpiad, mereka mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya walaupun mereka ini adalah orang kurang upaya (OKU) mereka membuktikan bahawa mereka boleh.

“Saya tidak menjangkakan Endi mencipta rekod kebangsaan dan dengan apa yang dia buktikan kepada kita hari ini kita berasa amat bersyukur,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada masa sama Rahmatullah berkata dengan prestasi dan pencapaian terbaik yang ditunjukkan oleh Endi, ia dapat membuka jalan kepada atlet angkat berat Paralimpiad Sarawak untuk berjaya di peringkat yang lebih tinggi lagi.

“Jurulatih juga memainkan peranan penting kerana mereka yang mendidik atlet ini untuk fokus setiap perlawanan dan dengan sistem yang diguna pakai iaitu permainan bijak kita berjaya meraih pingat pada hari ini.

“Dan Endi telah membuktikan dia bermain dengan bijak ditambah dengan semangat yang tinggi untuk menang,” ujarnya.

Selain itu, Rahmatullah turut menjanjikan persaingan kepada pasukan negeri lain sepanjang acara angkat berat.