Kem badminton S’wak dirundung malang

0

KUCHING: Kem badminton Sarawak dirundung malang selepas gagal beraksi cemerlang dalam acara perseorangan di Kompleks Sukan UNIMAS, semalam.

Suasana suram menyelubungi kontinjen Sarawak apabila tiada sebarang pingat diperolehi dalam saingan hari kedua acara itu dipertandingkan pada temasya Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-18 Sarawak.

Skuad badminton tampil dengan misi meraih emas menghantar 10 wakil perseorangan semalam, bagaimanapun hanya dua pemain berjaya melepasi saingan pertama peringkat kumpulan.

Wakil perseorangan tuan rumah, Nabilah Ahmat Sharif menepati ramalan, menang mudah 2-0 (21- 10, 21-17) ketika bertemu pencabar dari Pahang, Wan Noraini Zainuddin.

Selain itu, perseorangan lelaki Mohd Zambri Yusof turut berjaya mencatat kemenangan 21-18, 21-16 ke atas Ramlan Safari dari Selangor.

Manakala barisan pemain lain kecundang di tangan pencabar masing-masing.

Sementara itu ketua jurulatih, Suhaili Laiman ketika ditemui berkata sebilangan pemain mempamerkan aksi kurang kemas semalam.

Bagaimanapun hanya dua pemain yang berjaya menang pada aksi pertama peringkat kumpulan.

“Beberapa pemain lain tewas dalam saingan pertama ketika bertemu lawan masing- masing,” katanya.

Suhaili berharap para pemain dapat bangkit dalam mengharungi baki saingan peringkat kumpulan hari ini.