Liga sekolah menengah di Sibu bermula pada 10 Ogos

0

SIBU: Pertandingan Liga Bola Sepak Sekolah Menengah Sibu Musim Ke-2 akan bermula 10 Ogos ini di padang bola sepak SMK Kampung Nangka yang merupakan penganjur bersama pada tahun ini.

Pengerusi pengelolanya Kandou Ngadi yang merupakan pengetua SMK Bukit Assek berkata, liga ini pada mulanya dirancang diadakan pada bulan Mei tetapi terpaksa ditunda kerana bulan Ramadan dan Sukan Malaysia (SUKMA) XVII.

“Pada tahun ini pertandingan liga akan diadakan selama tiga bulan iaitu akan tamat pada bulan Oktober sebelum pelajar menduduki ujian akhir tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran liga tersebut di sini, Khamis lepas.

Menurutnya, pertandingan tahun ini disertai tuan rumah SMK Bukit Assek, SMK Rosli Dhoby, SMK Sibu Jaya, SMK Kampung Nangka, SMK Luar Bandar dan SMK Agama.

Beliau memberitahu, kejayaan penganjuran pada musim pertamanya telah mendorong SMK Bukit Assek menuruskan penganjuran liga ini dan merupakan projek kebitaraan sekolah.

Dalam pada itu, Kandou turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bukit Assek di bawah pimpinan Yang Dipertuanya Thomas Tutong kerana sudi membantu pihak sekolah malah pihak PIBG sekolah juga telah sanggup membantu dalam membimbing satu pasukan di bawah jurulatih PIBG Andrew Lawadin.

Sementara itu, pengurus pertandingan liga ini Stanley Bayang merakamkan penghargaan kepada semua sekolah yang menyertai pertandingan dan beliau juga menyatakan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Sibu kerana meluluskan penganjuran liga ini dan seterusnya memberi sumbangan dari segi peralatan dan nasihat.

“Tak lupa juga kepada syarikat yang sudi menjadi penyumbang kepada piala dan trofi serta penyumbang piala pusingan” katanya.

Beliau memberitahu, pada pertandingan ini setiap sekolah dibenarkan mengimport pemain dari mana-mana sekolah yang tidak menyertai pertandingan ini.