Penyamun umpan seks

0

TA03810 TA03809Lelaki terperdaya tawaran khidmat seks disamun dan dirompak di sebuah hotel di Sibu.

Oleh Michael Ubam dan Watt Zacchaeus //

SIBU:Seorang lelaki yang menginap di sebuah hotel di sini, diserang dan disamun sekumpulan lelaki dipercayai berpakat dengan seorang wanita yang memperdayakan mangsa dengan menawarkan khidmat seks.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam di sebuah hotel terletak di Jalan Wong Nai Siong kelmarin, mangsa yang berusia 28 tahun, seorang juruteknik berasal dari Kuching kehilangan sebuah telefon bimbit, wang dan sebuah lagi telefon bimbit milik rakan sebilik.

Sebelum insiden tersebut, mangsa dikatakan telah berjumpa dengan seorang wanita yang menyapanya ketika berada di pasar malam di sini.

Setelah bersetuju dengan pelawaan khidmat untuk memuaskan nafsu, pengadu telah memberikan nombor bilik penginapannya kepada wanita tersebut sebelum kembali ke hotel.

Seperti yang dijanjikan, wanita tersebut muncul di depan pintu bilik penginapan dan pengadu terus mengajaknya masuk tanpa mengetahui tujuan yang tersirat.

Belum sempat mereka melakukan sesuatu, dua lelaki yang mengikut dari belakang terus meluru masuk ke dalam bilik dan memaksa pengadu menyerahkan wang dan telefon bimbitnya.

Apabila pengadu cuba melawan, dua lelaki itu mula menyerangnya dengan alat buku lima sehingga mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Ketiga-tiga suspek kemudian terus melarikan diri bersama tiga lagi lelaki dipercayai rakan subahat yang telah menunggu di bawah hotel.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi memberitahu, enam suspek terasuk lima lelaki berumur antara 19 hingga 30 tahun telah berjaya ditahan termasuk seorang wanita berumur 23 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Difahamkan semua suspek telah berjaya ditahan di sebuah rumah di Jalan Laichee, yang hanya terletak 150 meter di kawasan belakang Balai Polis Sentral Sibu pada jam 1.30 pagi.

Polis turut berjaya merampas dua unit telefon bimbit yang dilaporkan hilang serta alat buku lima.

“Suspek-suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 13 Ogos ini selepas permohonan reman diluluskan oleh mahkamah pagi semalam,” kata KPD.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 394/395 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes yang berasingan seorang kerani berusia wanita 48 tahun menjadi mangsa terbaharu penipuan rakan laman sosial Facebook di sini melibatkan nilai kerugian RM15,580.

Mangsa dikatakan telah berkenalan dengan kenalan lelaki berkenaan yang mengenali dirinya sebagai ‘James’ sejak Julai lalu.

Selepas berhubung melalui Facebook dan WhatsApp, lelaki tersebut kemudian memberitahu bahawa dia telah mengirim satu bungkusan hadiah dari United Kingdom.

Tidak lama selepas itu, pengadu telah menerima satu panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Jabatan Kastam dan memberitahu bahawa bungkusan itu telah ditahan oleh mereka.

Mengikut taktik penipuan mereka, pengadu perlu membuat pemindahan wang untuk bayaran cukai termasuk GST jika tidak mahu dikenakan tindakan mahkamah.

Bimbang sesuatu yang tidak diingini akan berlaku, pengadu mengikut seperti mana yang dikehendaki namun akhirnya menyedari bahawa dirinya telah ditipu kerana James tidak lagi dapat dihubungi di dalam dunia maya.