Sarawak gagal rangkul pingat acara tenpin boling

0

KUCHING: Sarawak memulakan saingan hari pertama tenpin boling dengan langkah kiri setelah gagal merangkul sebarang pingat dalam Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-18 Sarawak.

Kejohanan yang berlangsung di Megalanes Bowling Centre, Batu Kawa semalam menyaksikan barisan pemain lelaki tuan rumah kecundang dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

Dalam acara perseorangan lelaki TPB1, Azuan Amir dari Sabah mendominasi saingan tersebut selepas memperoleh 482 jatuhan pin sekali gus meraih emas.

Manakala pencabarnya dari Pulau Pinang, Muhamad Hairul Miran hanya dibezakan dengan dua jatuhan pin (480) selaku pemenang pingat perak, sementara Suhairi Abdul Kadir di tempat ketiga dengan catatan 450 jatuhan pin.

Wakil tunggal Sarawak, Bruno Bawi menamatkan saingan di kedudukan ketujuh dengan 102 jatuhan pin selepas mengharungi empat pusingan.

Sementara itu, dalam kategori TPB2 pula, atlet Sarawak terus kempunan menghadiahkan pingat buat kontinjen negeri setelah Mohd Iffendi Ibrahim dan Rustam Effendy Umar gagal menandingi pencabar lain dalam acara perseorangan lelaki akhir.

Meskipun mencatatkan 457 dan 400 jatuhan pin, namun jumlah tersebut belum memadai untuk berada di kelompok teratas.

Acara itu dimenangi Suhaili Abdul Hamid dari Pulau Pinang (781) diikuti Choo Kam Chan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dengan 679 jatuhan pin dan pemain Selangor, Muhamad Sharil Abdul Aziz yang memperoleh 612 jatuhan pin.

Nasib turut tidak menyebelahi Jeffery Bujang Man dan Azizie Suib dalam acara perseorangan TPB3 yang sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketujuh dan kesembilan dengan rekod jatuhan pin sebanyak 453 dan 411 mata.