Jadikan bola sepak sebagai kerjaya: Dahim

0

Kerjaya pemain bola sepak datangkan pulangan lumayan jika diceburi dengan serius

// Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Golongan belia di negeri ini disarankan agar menjadikan sukan bola sepak sebagai satu kerjaya dan bukan sekadar wadah untuk beriadah semata-mata.

Residen Bahagian Serian, Dahim Nadot berkata kerjaya sebagai pemain bola sepak boleh mendatangkan pulangan lumayan jika diceburi dengan serius.

“Sukan bola sepak boleh dijadikan kerjaya yang menguntungkan dan tidak harus dijadikan sebagai landasan untuk beriadah sahaja,” katanya semasa merasmikan Penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala Residen Bahagian Serian 2016 di Kampung Lanchang Sabai, Serian kelmarin.

Menurut Dahim, kejohanan bola sepak yang julung kali dianjurkan itu berjaya mencungkil beberapa pemain berbakat yang boleh berjaya ke tahap lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau akan memastikan kejohanan itu terus diadakan setiap tahun.

“Syabas kepada penganjur Kelab Belia Kampung Lanchang Sabai menganjurkan kejohanan yang cukup baik ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Haidel Heli menyambut baik usaha penganjuran kejohanan bola sepak itu sambil menambah ia akan memartabatkan sukan tersebut di negeri ini.

“FAS sentiasa menyokong usaha seperti yang dibuat oleh Kelab Belia Kampung Lanchang Sabai kerana ia akan membantu melahirkan lebih ramai pemain bola sepak di negeri ino,” kata Haidel.

Kejohanan bermula sejak 3 Mac lalu dan disertai sebanyak 64 pasukan dan dimenangi oleh Rimong Croc (juara) selepas mengatasi Keling Kenyalang (naib juara) dengan jaringan 3-0 pada perlawanan akhir kelmarin.

Hadera Bakeri muncul wira pasukannya dengan meledakkan jaringan hatrik pada minit kelima, ke-10 dan ke-45 memastikan Rimong Croc membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat.

Kehebatan Hadera sepanjang saingan itu membolehkan beliau diangkat selaku penjaring terbanyak kejohanan manakala penjaga gol Rimong Croc turut dinobatkan penjaga gol terbaik.

Keling Kenyalang pula pulang dengan RM1,500, trofi dan pingat manakala Giam Emerald yang menduduki tempat ketiga menerima RM750, piala dan pingat setelah menumpaskan Team Warrez 3-0 untuk meraih RM500, piala dan pingat di tempat keempat.

Dahim dan Haidel menyampaikan hadiah kepada pemenang sambil diiringi Pengerusi Kelab Belia Kampung Lanchang, Domingo Akong.